Kadar pengangguran merupakan salah satu kayu pengukur tahap ekonomi sesebuah negara kerana negara yang mempunyai pertumbuhan yang baik kadar pengganggurannya rendah dan sebaliknya jika kadar penggangguran tinggi maka telah berlaku pembaziran sumber manusia. Masalah penggangguran terutama dalam kalangan generasi muda pada hari ini merupakan satu masalah ekonomi yang harus ditangani dalam pasaran buruh.

Statistik menunjukkan kadar pengangguran belia adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar pengangguran semasa negara dan mencatatkan kadar tertinggi pada tahun 2009 iaitu pada kadar 11.65 peratus.

Antara punca utama yang mengakibatkan pengangguran adalah kerana percambahan pusat-pusat pengajian tinggi yang menawarkan program sijil, diploma dan ijazah sama ada dari institusi kerajaan mahupun swasta. Tambahan pula proses pengambilan kemasukan pelajar yang lebih mudah mengakibatkan lebih ramai individu tidak menghadapi masalah untuk memperoleh sijil ataupun diploma. Apa yang membezakan kini adalah sama ada mereka adalah graduan universiti awam atau swasta.

Lebih memburukkan lagi apabila pertumbuhan rancak IPT swasta yang menawarkan pelbagai program pengajian. Maka, jumlah graduan hasil daripada IPT swasta juga semakin meningkat saban tahun dan ada pihak yang mengganggap bahawa institusi swasta ini seperti kilang yang menghasilkan tenaga kerja yang melebihi permintaan industri pekerjaan. Hasilnya, dapat kita lihat bahawa kini kuantiti melebihi kualiti dan lambakan graduan yang tidak bekerja dalam pasaran.

lambakan graduan daripada universiti tempatan dan swasta mengundang peningkatan pengangguran

Selain itu, antara punca generasi muda sukar untuk mendapatkan pekerjaan adalah disebabkan oleh prestasi graduan yang terlalu tinggi daripada jawatan yang ditawarkan. Oleh kerana memerlukan pekerjaan, graduan yang mempunyai kelayakan ijazah dan sarjana sanggup memohon pekerjaan yang lebih rendah dari kelayakan mereka. Namun majikan tidak menerima golongan ini bekerja kerana akan menimbulkan masalah dari aspek skim gaji yang tidak sesuai dengan kelulusan. Tambahan pula, kebanyakkan peluang pekerjaan yang wujud di negara ini lebih tertumpu kepada pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana kerana masih lagi bergantung kepada kos tenaga buruh yang rendah.

Kadar pengangguran yang tinggi boleh dikatakan satu tragedi nasional bagi sesebuah negara dan ia perlu ditangani segera. Hal ini kerana, kadar pengangguran yang tinggi boleh dikaitkan dengan kegagalan kerajaan untuk memberi fokus menyediakan kerjaya kepada generasi masa depan.

Bukan itu sahaja, masalah pengangguran akan membawa kepada masalah sosial seperti peningkatan kadar kemiskinan seterusnya akan meningkatkan kadar jenayah yang dilakukan oleh penganggur akibat kesempitan hidup. Faktor ekonomi semasa seperti kenaikan kos sara hidup merumitkan keadaan golongan belia yang menganggur. Ketiadaan sumber pendapatan dan tekanan untuk meneruskan kelangsungan hidup menyebabkan golongan belia hilang pertimbangan dan terjebak dengan jenayah seperti ragut, merompak dan sebagainya.

Seterusnya, akibat daripada sukar mencari pekerjaan, sesetengah individu terutamanya graduan yang mempunyai kelulusan yang tinggi akan mengalami masalah tekanan dan hilang keyakinan diri. Hal ini kerana, mereka terpaksa berhadapan dengan masyarakat sekeliling yang kerap kali memandang remeh terhadap mereka yang masih lagi menganggur dan menganggap bahawa mereka ini menjadi liabiliti kepada keluarga.

sesetengah graduan sanggup memohon pekerjaan yang lebih rendah dari kelayakan mereka

Justeru, pihak kerajaan dan sektor swasta perlu menumpukan perhatian untuk mengurangkan kadar penggangguran ini. Bagi golongan siswazah, mereka tidak mahu terus dikecam sebagai golongan yang memilih pekerjaan. Bagi mereka, pekerjaan yang sesuai dengan ilmu yang mereka perolehi akan lebih memudahkan mereka untuk menerapkan segala ilmu yang telah dipelajari ke alam pekerjaan. Sesetengah graduan juga tidak terlalu memilih kerja sehingga sanggup melakukan apa sahaja kerja asalkan mereka mempunyai pendapatan untuk menampung kehidupan masa kini.

Pihak kerajaan perlu memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan pasaran buruh yang berpendapatan tinggi dan berkemahiran tinggi yang boleh menghasilkan produktiviti tinggi. Seharusnya amalan kronisme dalam pengambilan pekerja juga perlu dihapuskan agar setiap individu dapat bersaing dengan sihat di atas kapasiti kebolehan masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here