Perkhidmatan Gojek mula popular di Indonesia selepas ia berjaya membuka 2 juta peluang pekerjaan kepada penduduk di sana selepas diperkenalkan oleh Nadiem Makarim. Idea itu mula mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Gojek di Malaysia? Apa reaksi kita sebagai pengguna? Apa pula reaksi pemandu-pemandu Grab dan E-hailing? Sebenarnya konsep ‘sharing economy’ dalam bidang pengangkutan dan perkhidmatan telah cukup popular di Malaysia. Kita sudah ada Grab, Food Panda, My Car dan banyak lagi.

Idea Gojek yang mahu diperkenalkan oleh Syed Saddiq

Sebenarnya konsep Gojek atau perkhidmatan teksi motosikal ini sudah mula diperkenalkan di Malaysia pada 16 November 2017. Penduduk sekitar Lembah Klang pasti biasa mendengar nama Dego Ride. Perkhidmatan ini telah diasaskan oleh Nabil Faisal Bamadhaj tetapi diharamkan perkhidmatannya oleh kerajaan terdahulu atas faktor keselamatan.

Selepas perubahan tampuk pimpinan, pihak Dego Ride ada meminta lagi sekali kepada kerajaan baharu untuk meluluskan perkhidmatan mereka. Namun pihak Kementerian Pengangkutan tetap tidak meluluskan operasinya atas faktor statistik kemalangan banyak berlaku di kalangan penunggang motosikal.

Melalui pengalaman pengasas Dego Ride, mungkin Syed Saddiq bakal berhadapan dengan ‘sedikit cabaran’ untuk memohon agar cadangan beliau diangkat ke peringkat kabinet. Secara dasarnya sokongan penuh sudah pasti akan diberikan kepada Syed Saddiq atas usaha beliau untuk mewujudkan peluang menjana pendapatan di kalangan ‘mat-mat motor’.

Namun beliau perlu mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Pengangkutan dan pelbagai agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) kerana ini merupakan bidang kuasa mereka.

Daripada sudut lain, Syed Saddiq perlu berfikir sudah pasti perkhidmatan Gojek ini akan memberikan saingan baharu kepada pemandu Grab dan teksi.

Sejak wujudnya ‘disruptive techonolgy’ bermula dengan kemunculan UBER dan Grab, pemandu-pemandu teksi yang kebanyakannya terdiri daripada golongan ‘warga emas’ terpaksa menggunakan teknologi yang disediakan oleh syarikat-syarikat e-hailing. Apabila munculnya Gojek pasti ianya akan menjadi satu cabaran buat mereka.

Pelaksanaan Gojek bakal memberi cabaran kepada pemandu teksi

Kemunculan Gojek tidak sepatutnya menjadi titik noktah kepada Grab, UBER atau teksi. Syed Saddiq perlu memikirkan satu analisis yang terperinci berkenaan isu keselamatan dan implikasi ke atas pemandu-pemandu e-hailing.

Jika mengikut pada pelaksanaan Dego Ride, syarikat itu meletakkan tambang serendah RM2.50 untuk 3km pertama dan RM0.60 bagi setiap 1km seterusnya. Ini pasti memberikan saingan yang hebat kepada perkhidmatan-perkhidmatan perkongsian kenderaan yang lain dari segi harga.

Maka mungkin Syed Saddiq boleh menghadkan perkhidmatan membawa penumpang pada jarak-jarak tertentu seperti kurang daripada 3km. Mungkin juga menghadkan penghantaran penumpang untuk tujuan-tujuan tertentu seperti menghantar mereka ke stesen-stesen perkhidmatan awam.

Idea perkhidmatan Gojek ini memerlukan analisis dan pemerhatian yang teliti. Ia melibatkan faktor keselamatan, budaya masyarakat Islam Malaysia dan saingan kepada pemandu-pemandu e-hailing yang lain. Tetapi bukan bermakna idea ini tidak relevan, kerana ianya berpeluang membantu segelintir golongan menjana pendapatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here