Kejadian pengeboman di seluruh dunia kini semakin menjadi-jadi hingga meragut banyak nyawa tidak bersalah oleh pengganas radikal agama. Apa yang menjadi kerisauan kepada masyarakat ini bukan sahaja ancaman keselamatan tetapi mereka juga berang apabila golongan pengganas menggunakan nama agama untuk melakukan jenayah terkutuk ini. Kezaliman mereka telah membuatkan nama agama dikutuk dan dilabel sebagai ajaran keganasan hingga mencemarkan ajaran suci agama tersebut.

Baru-baru ini satu siri kejadian pengeboman di sebuah gereja dan hotel di tiga bandar Sri Lanka hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 290 maut manakala 500 lagi cedera ketika mereka sedang menyambut Hari Easter. Insiden letupan bom di tembat ibadah ini bukanlah perkara baru dilakukan oleh pengganas militan kerana pada 2018, satu serangan bom juga berlaku di tiga gereja di Surabaya, Indonesia. Kedua-dua serangan bom ini juga dikaitkan dengan kumpulan militan yang memanggil diri mereka sebagai Negara Islam atau dahulu disebut ISIS.

Keadaan ini berlaku disebabkan oleh fahaman radikal Islam yang menggunakan pendekatan keras dalam menyampaikan dakwah Islam dan menjadi pegangan mereka untuk ‘menghalalkan’ pembunuhan demi jihad yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. Ideologi radikal global muncul ketika zaman globalisasi dan merujuk kepada gerakan ideologi Wahabi yang menggunakan konsep jihad perang.

Kumpulan radikal Islam kini menggunakan media sosial untuk berhubung berbanding perjumpaan sulit

Mereka percaya konsep ini membantu mereka mengenalpasti musuh Islam sama ada umat Islam sendiri atau orang kafir. Ini membolehkan mereka melaksanakan jihad perang dan memansuhkan semua ajaran jihad lain dalam Islam. Kebanyakan golongan ini wujud disebabkan oleh sesetengah umat Islam bersikap jahil dan kekurangan ilmu pengetahuan serta jauh dari mendapat bimbingan sumber ilmu dari ulama dan ilmuwan yang betul.

Apabila perkara ini terjadi, ia telah memberi anggapan negatif terhadap ajaran Islam yang menekankan tentang keamanan kepada seluruh dunia dan ianya telah mewujudkan pandangan Islamofobia yang beranggapan Islam adalah agama keganasan. Disebabkan itulah timbul satu ‘rantai’ keganasan dan mereka ini akan menyerang umat Islam lain seperti yang terjadi di Christchurch, New Zealand dengan alasan umat Islam perlu diusir bagi mengelakkan keganasan berlaku di tempat mereka.

Oleh kerana itu, masyarakat dunia perlu didedahkan tentang fahaman sebenar agama Islam yang menolak sekeras-kerasnya keganasan. Umat Islam perlu berani untuk menyampaikan dakwah secara terbuka dan menerangkan kepada orang ramai tentang ajaran Islam yang mengajarkan kepada umatnya untuk bersama-sama menjaga ketenangan, kedamaian dan kebahagiaan hidup bermasyarakat. Inilah jihad sebenar kepada umat Islam kerana mengajar orang ramai tentang agama Islam dan menolak sebarang perbuatan tidak berperikemanusiaan.

Pasukan Anti Pengganas PDRM perlu diperkasa untuk menangkis ancaman radikal Islam

Dalam negara ini juga tidak boleh dipandang ringan tentang ancaman kumpulan radikal Islam yang telah mula bertapak hingga menubuhkan kumpulan radikal seperti Jamaah Islamiyyah (JI), Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Darul Islam (DI), al-Qaeda Asia Tenggara dan Darul Islam Sabah. Oleh kerana itu, kerajaan harus berwaspada dengan kumpulan ini yang kini menggunakan platform Telegram, WhatsApp, Facebook Massenger dan pelbagai teknologi terkini untuk menyampaikan ideologi mereka.

Justeru, kerajaan perlu menaiktaraf Bahagian Anti Keganasan kepada Jabatan Anti Keganasan Polis Diraja Malaysia supaya dapat melakukan penambahbaikan terhadap pengawasan perang siber, kegiatan perisikan, program pemulihan dan pemerkasaan aktiviti anti keganasan. Ianya amat penting kerana golongan radikal Islam ini boleh muncul dimana-mana dan terjadi kepada sesiapa sahaja untuk melakukan keganasan. Disebabkan itulah mereka ini dianggap ‘human bomb’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here