Baru-baru ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperkenalkan penggunaan kamera video pada semua saluran mengundi pada hari pengundian di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis. Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ia sebagai salah satu usaha penambahbaikan untuk pilihan raya yang cekap dan telus.

Penggunaan kamera video ini bertujuan untuk merakam keadaan dalam saluran bagi memudahkan SPR untuk menyemak semula proses pengundian dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan. Ia akan dipasang pada semua 68 saluran dan dikendalikan oleh pegawai SPR. Rakaman tersebut juga akan digunakan sebagai pemantauan kualiti dan rujukan untuk tujuan latihan selain penambahbaikan proses pilihan raya akan datang. Dengan penggunaan kamera video pada semua saluran, ia tidak akan sama sekali menjejaskan kerahsiaan pengundian memandangkan kamera ini dipasang jauh dari petak undi dan kehadiran ejen calon di tempat mengundi adalah dikekalkan.

Kamera video mengesan pengundi hantu dan bertindih

Sehubungan itu, terdapat beberapa kebaikan kamera video antaranya mengesan pengundi hantu, pengundi bertindih dan sebagainya. Kewujudan bilangan yang besar ini melibatkan pengundi tanpa alamat, alamat tidak lengkap malah alamat diberikan tidak pernah wujud, namun mereka masih mempunyai pusat dan daerah mengundi. Dengan menggunakan kamera ini, pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya, bukan sahaja kepada pemilik nama malah pihak yang menjadi dalang di sebalik isu tersebut.

Realitinya, kamera ini akan memastikan perjalanan pilihan raya yang adil dan telus. Sebagai contoh terdapat segelintir pengundi telah mendaftar bagi mengundi di bawah beberapa nama berlainan selain meletakkan undi berganda. Dengan membandingkan imej wajah dengan yang sudah terdapat dalam pangkalan data pengundi, kamera ini dapat mengesan pengundi yang melakukan pendaftaran berganda.

Pemuda UMNO Sabah bantah pelaksanaan kamera video

Justeru, terdapat segelintir pemimpin membantah kamera ini antaranya pemuda UMNO Sabah tidak bersetuju dengan langkah ini memandangkan ia hanya menakutkan pengundi untuk membuat pilihan calon masing-masing kerana risau keputusan itu diketahui pihak berkuasa.

Walau bagaimanapun, segelintir netizen bersetuju kamera ini mampu menangani kes salah laku khususnya pengundi hantu dalam pilihan raya nanti. Ini bagi mengelakkan perkara berkenaan tidak berulang lagi pada masa akan datang. Tetapi, ada juga segelintir netizen tidak bersetuju kerana kamera video berkualiti rendah itu tidak berupaya merakam salah laku mana-mana pengundi dan menjejaskan pengesanan, siasatan serta pendakwaan kes memandangkan sistem itu gagal mengecam suspek secara teknikal.

Oleh itu, ada baik dan buruknya kamera ini kepada semua pihak khususnya pengundi pada pilihan raya. Hakikatnya kamera ini dapat mengelakkan sebarang penipuan selain mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pengundi yang melakukan kesalahan berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here