Kebanyakan daripada penduduk dunia sering menyatakan bahawa apa-apa jua hak kebebasan adalah ‘milik’ mereka. Namun mereka perlu tahu bahawa definisi ‘hak’ dan ‘kebebasan’ tidak sama. Oleh itu, istilah hak kebebasan bersuara, kebebasan beragama, kebebasan akhbar atau apa jua kebebasan tidak boleh disalah erti.

Kebebasan menekankan kebolehan seseorang individu untuk bertindak mengikut kehendaknya sendiri. Manakala hak dari segi masyarakat merujuk kepada sesuatu perkara yang boleh dilakukan atau patut diberi kepada orang ramai. Namun setiap kerajaan mempunyai kuasa untuk menentukan hak rakyat di negaranya sendiri. Bermakna apa jua hak kebebasan perlu tertakluk pada undang-undang negara.

Melalui penulisan ini, apa yang mahu ditekankan adalah hak kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara bukanlah kebebasan mutlak, iaitu kebebasan yang tidak boleh disekat. Bahkan ianya tertakluk pada kebebasan bersyarat yang dihadkan oleh sekatan undang-undang atau sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang.

Kebebasan bersuara perlu ada batasan

Di Malaysia, hak untuk bersuara, berekspresi atau mengutarakan pandangan telah termaktub di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa setiap warganegara berhak ke atas kebebasan bercakap dan bersuara. Kebebasan ini banyak melindungi orang awam untuk mengekspresikan pendapat mereka dalam konteks peradaban masa kini.

Tetapi hak bersuara ini sering disalah guna oleh segelintir masyarakat yang terlalu taksub dengan kebebasan yang diberikan sehingga memberikan implikasi kepada individu, komuniti, institusi berkepentingan dan negara.

Sikap segelintir masyarakat yang semberono menggunakan hak di bawah Perkara 10(1)(a) inilah yang telah melahirkan lambakan kes saman fitnah di mahkamah. Kebanyakan daripadanya adalah berpunca daripada penulisan di media sosial.

Kebanyakan daripada individu yang disaman akibat menulis fitnah di media sosial ini tergolong daripada golongan ‘biasa’ yang tidak berkemampuan dari segi kewangan, had umur atau taraf kehidupan sosial. Mac 2018, seorang suri rumah dihukum penjara lapan bulan atas pertuduhan menghina Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V pada April 2017.  Individu itu membuat kenyataan palsu di Facebook miliknya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Suri rumah yang dipenjara lapan bulan akibat kebebasan bersuara

Maka secara dasarnya, penting untuk ditekankan bahawa kebebasan bersuara bukanlah hak milik mutlak yang boleh digunakan ‘sesuka hati’ kerana kebebasan itu juga mempunyai had dan sekatan yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(2).

Kewujudan sekatan ini perlu dan mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan, perhubungan persahabatan dengan negara luar, ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan badan legislatif atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah atau perbuatan menghasut untuk melakukan sesuatu kesalahan.

Setiap kenyataan yang dikeluarkan di media sosial mudah disebarkan. Jika penyebaran penulisan itu berunsurkan hinaan atau perkauman, dibimbangi ianya mampu menggugat ketenteraman awam. Pernah tular di media sosial, salah seorang pemimpin kerajaan mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman.

Kenyataan beliau telah mendapat kecaman daripada rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu. Disebabkan oleh ‘ketaksuban’ beliau, keamanan negara yang melibatkan bangsa-bangsa lain sedikit tergugat. Malahan, integriti kerajaan Malaysia juga dipertikai kerana melantik beliau menjadi salah seorang menteri kabinet.

Hak kebebasan bersuara bukan sahaja tertakluk kepada rakyat biasa, bahkan seluruh warganegara Malaysia sehingga kepada pemimpin tertinggi negara. Individu-individu tertinggi inilah yang wajar menjadi teladan yang baik.

Setiap perkataan yang dikeluarkan melambangkan kematangan seseorang berfikir. Hendak ditarik semula kebebasan bersuara, ianya seolah-olah menafikan hak asasi manusia, yang sememangnya mempunyai fitrah untuk menyuarakan pandangan. Tetapi jika menyalah gunakan hak yang telah diberi, sehingga menjejaskan kedaulatan dan keamanan negara, maka apa sebenarnya yang rakyat mahu?

Setiap warganegara mempunyai hak untuk bersuara. Namun apakah ‘isi’ yang dikeluarkan melalui ‘suara-suara’ itu harus dititikberatkan, kerana ianya akan memberi implikasi kepada masa hadapan. Berfikir sebelum ‘bersuara’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here