Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (SOSMA) merupakan satu-satunya akta yang melindungi negara ini dari sebarang ancaman keselamatan seperti kumpulan militan, fahaman berhaluan kiri dan juga pengganas. Pentingnya akta ini kepada Malaysia adalah untuk menyediakan langkah-langkah khas berkaitan dengan kesalahan keselamatan bagi tujuan mengekalkan keamanan dan keselamatan dan bagi hal-hal berkait rapat dengan negara dan rakyat secara amnya.

rakyat Malaysia kini diancam bahaya berikutan fahaman berhaluan kiri seperti LTTE dan komunis yang meresap ke dalam negara

Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata undang-undang yang sedia ada tidak memadai untuk mendakwa para pesalah SOSMA kerana tindakan dan kesalahan yang dilakukan oleh mereka adalah di luar batasan undang-undang dan ia mungkin akan menimbulkan masalah kepada negara. Hal ini boleh dilihat kepada situasi negara pada masa ini di mana ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk ‘menghidupkan’ kembali fahaman berhaluan kiri secara nyata. Oleh itu, akta ini dilihat tidak wajar dimansuh sebaliknya perlu ditambahbaik bagi memberi hak keadilan kepada setiap individu.

Antara aspek penambahbaikan yang boleh diterapkan dalam akta SOSMA ini adalah dengan mewujudkan sekatan ke atas akta ini bagi mengelakkan campur tangan politik. Hal ini kerana kewujudan akta sebelum ini memperlihatkan campur tangan pihak-pihak yang berkepentingan dalam politik dan siasatan dijalankan adalah tidak telus. Jadi, penubuhan badan berkecuali di dalam akta ini dilihat satu langkah yang terbaik dalam memberikan hak yang adil kepada semua.

Di samping itu, pihak berkuasa dan pembimbing kaunseling yang terbabit dalam penguatkuasaan SOSMA ini perlu mempunyai ilmu serta kefahaman yang betul mengenai bentuk dan kumpulan kesalahan yang dikategorikan di bawah akta tersebut. Ia perlu dalam memastikan usaha penyelidikan berkaitan kesalahan di bawah akta ini lebih maju agar tidak berlaku kesilapan dalam membuat penangkapan dan penahanan selain pesalah dapat disalurkan kepada hukuman dan proses pemulihan yang terbaik.

SOSMA perlu dipertahankan bagi menjaga keamanan masyarakat Malaysia

Sekiranya akta ini dimasuhkan, ia akan memberi impak yang sangat besar terhadap keselamatan negara seperti berlakunya pencerobohan oleh fahaman berhaluan kiri secara nyata. Ini dapat dibuktikan apabila Malaysia kini sedang berhadapan dengan ancaman komunis dan LTTE. Fahaman ini sedang disebarkan secara halus dalam usaha untuk merekrut para penyokong dan tumpuan sudah tentu ke arah golongan belia. Ini akan mengakibatkan masyarakat mudah terpengaruh lantas berlakunya pemberontakan di dalam negara.

Dalam hal ini, kerajaan mahupun kementerian yang terlibat harus mengekalkan prinsip untuk tidak mendengar aduan sebelah pihak berkaitan dengan ‘kezaliman’ akta SOSMA. Akta ini dilihat perlu dan wajib dipertahankan bagi menjamin keselamatan negara daripada ancaman musuh dan juga fahaman berhaluan kiri dari meresap ke dalam diri rakyat Malaysia. Namun, penambahbaikan dan pindaan harus diperhalusi bagi memastikan adanya keseimbangan dalam melaksanakan penguatkuasaan tanpa adanya tindakan kezaliman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here