Isu penggunaan ‘vape’ dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya di kalangan pelajar sekolah nampaknya semakin membimbangkan apabila murid sekolah rendah juga kini dilapor telah mula berjinak-jinak menggunakan peranti rokok elektronik itu secara terbuka.

Antara jenama vape yang popular di Malaysia

Oleh itu, adalah sangat wajar sekiranya penggunaan vape di negara ini perlu diharamkan Sekalipun isu mengenai asap vape masih dalam kajian dan hanya beberapa penemuaan awal menunjukkan bahaya asap vape kepada perokok, sekurang-kurangnya pihak berkuasa perlu mengiktiraf apa jua bentuk asap akan mengganggu orang awam.

Tidak kisah asap rokok, vape, lori, jentera berat mahupun pembakaran terbuka, semua jenis asap mengganggu pernafasan, khususnya terhadap kanak-kanak dan bayi. Kegiatan vape ini sangat popular di kawasan yang terbuka seperti di kedai-kedai makan yang dipenuhi oleh orang awam. Oleh kerana itu, perbuatan mereka ini akan menjejaskan serta mengganggu ketenteraman orang awam yang berada di sekitar kawasan tersebut.

Kegiatan vape ini sudah pun merebak sehingga ke peringkat sekolah dan perkara ini perlu untuk ditangani dengan kadar segera jika tidak mahu sesuatu yang lebih buruk berlaku. Di peringkat sekolah jika kita lihat kegiatan rokok di kalangan pelajar kini berada di tahap yang membimbangkan, dan semuanya bermula dengan pengaruh rakan sebaya. Tidak mustahil kegiatan vape di kalangan pelajar akan menjadi hal yang sama seperti rokok jika tidak dicegah dari peringkat awal.

Pelajar sekolah turut terlibat dengan gejala vape

Kita dapati ramai anak muda kini yang beralih kepada vape dan lebih malang lagi ada pihak yang cuba mengadun perisa yang memudaratkan iaitu ganja dan ketum bagi menyaingi perisa oren, mangga, coklat dan kopi. Perkara sebegini sudah pasti akan mendatangkan lebih banyak kesan buruk kepada penggemar vape dan juga orang awam.

Oleh yang demikian, pihak polis dan sekolah mestilah bekerjasama membuat pemeriksaan mengejut agar tidak ada murid yang membawa bahan larangan ini ke sekolah, seperti mana larangan ke atas rokok. Semua pihak bimbang jika gejala ini masuk dan berakar umbi kemudian merebak di sekolah, akan menjejaskan mutu pendidikan di sekolah, malah nama baik institusi pendidikan juga turut merudum. Pemantauan juga mestilah dilakukan ke atas mana-mana pihak yang mengambil kesempatan ke atas murid sekolah dengan membekal dan menjual bahan-bahan ini memandangkan murid sekolah mudah dipengaruhi, apatah lagi dengan sesuatu benda yang baharu.

Justeru itu, pihak kerajaan diharapkan menjadi lebih tegas terhadap permasalahan ini agar kualiti hidup rakyat Malaysia ini lebih terjamin. Kepada para penghisap vape juga diseru untuk segera berhenti dari meneruskan aktiviti yang tidak berfaedah ini kerana banyak kesan buruk yang akan menanti anda di kemudian hari. Sedarilah bahawa tanpa kita sedari sifat angkuh dan degil kita bakal memudaratkan kesihatan insan-insan yang kita sayangi secara tidak sengaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here