Tinggal beberapa hari sahaja lagi sesi persekolahan tahun 2020 akan bermula dan pastinya ibu bapa sedang sibuk membuat persiapan untuk persekolahan anak-anak. Namun, persiapan musim baharu persekolahan 2020 memerlukan perbelanjaan yang besar sekaligus memberi cabaran kepada keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai tanggungan anak bersekolah yang ramai.

Kerajaan memahami dan mengambil berat keperluan perbelanjaan yang dihadapi oleh ibu bapa menjelang permulaan sesi persekolahan pada awal tahun. Oleh itu, sebagai langkah prihatin untuk menangani kos sara hidup, kerajaan mengambil inisiatif untuk memberikan Bantuan Awal Persekolahan sejumlah RM100 kepada setiap murid tahun satu hingga tingkatan lima dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah.

PSP di sekolah rendah merupakan inisiatif kerajaan untuk menyediakan makanan yang berkhasiat mengikut nilai kalori kepada kanak-kanak sekolah

Bukan itu sahaja, Program Sarapan Pagi (PSP) juga akan dilaksanakan di 100 sekolah rendah di seluruh negara berdasarkan kepada sekolah yang mempunyai peratus murid golongan B40 yang tertinggi dan turut mengambil kira semua jenis sekolah.

Selain daripada bantuan dan inisiatif dari sudut kewangan, ibu bapa juga berharap bahawa kerajaan mampu menyediakan sistem pendidikan yang terbaik buat pelajar-pelajar sehingga mereka mencintai ilmu, terus membesar sebagai seorang yang sentiasa mahu belajar, dan memahami bahawa pendidikan bukanlah tentang penghujungnya semata-mata, tetapi proses berterusan mengejarnya.

Sekolah seharusnya menjadi institusi yang paling membahagiakan dan seharusnya proses pembelajaran berjalan dengan penuh keseronokan, agar ia mampu menyemai rasa cinta terhadap ilmu. Sekolah juga harus menjadi tempat di mana perbezaan bukan sahaja dihormati, tetapi dihargai dan dirayakan.

Sekolah harus menjadi tempat yang meyeronokkan agar ia mampu menyemai rasa cinta terhadap ilmu

Inisiatif-inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan ini mungkin dinilai kecil oleh segelintir masyarakat, namun ia merupakan satu bantuan yang besar bagi golongan yang amat memerlukan terutamanya apabila kos sara hidup semakin membebankan. Sudah pastinya golongan B40 menghargai usaha kerajaan dan berharap bahawa inisiatif dan bantuan-bantuan sebegini terus dilakukan agar sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam menguruskan perbelanjaan persekolahan anak-anak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here