Baru-baru ini, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menerima beberapa aduan daripada pemaju mengenai kenaikan harga simen iaitu sebanyak 40 hingga 50 peratus. Hal ini telah disahkan menerusi surat yang dikeluarkan oleh pembekal yang menyatakan bahawa kenaikan tersebut bermula daripada 15 Jun.

Walau bagaimanapun, terdapat juga pihak yang menerima notis pemberitahuan yang sama namun tarikh berkuatkuasa kenaikan adalah 1 Julai. Situasi ini telah mencetuskan kebimbangan pihak pemaju sekiranya perkara ini berlanjutan tanpa sebarang penyelesaian oleh KPDNHEP.

Sehubungan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah menyatakan bahawa pihaknya akan berjumpa dengan pihak KPDNHEP bagi mecari punca dan penyelesaian bagi menangani isu ini. Dalam hal lain, kerajaan juga akan meneliti punca kenaikan harga simen ini adakah ianya berpunca daripada faktor monopoli memandangkan ketika ini sebanyak 85 peratus bekalan simen negara dipegang oleh satu syarikat sahaja.

KPDNHEP serius ingin tangani isu kenaikan harga simen

Sementara itu, kenaikan harga simen secara mendadak ini dipercayai berpunca daripada pembelian syarikat simen Lafarge Malaysia oleh YTL dan langkah kumpulan Hong Leong untuk membeli syarikat Tasek Cement dengan sepenuhnya pada bulan lepas. Walau bagaimanapun, segala kemungkinan ini hanyalah persepsi segelintir pihak dan masih lagi tiada sebarang kesahihan daripada pihak kerajaan dan KPDNHEP berhubung dengan isu ini.

Isu kenaikan harga simen ini adalah serius kerana ia akan memberi kesan sampingan serta menjejaskan banyak sektor pembinaan seperti perumahan, jalan raya, kilang dan sebagainya. Selain itu, kenaikan harga simen yang mendadak ini juga turut memberi kesan kepada syarikat-syarikat kontraktor awam dan swasta di mana mereka berisiko untuk muflis atau mengalami kerugian besar.

85 peratus bekalan simen negara dipegang oleh satu syarikat sahaja

Hal ini kerana, simen merupakan bahan asas utama dalam menjalankan projek-projek infrastruktur. Oleh itu kenaikan harga simen ini sudah tentu membimbangkan kerana ia akan menyebabkan kenaikan kos barang-barang sekaligus menjejaskan termasuk harga rumah terutamanya projek-projek kediaman mampu milik yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini. Situasi ini akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup rakyat secara keseluruhannya berikutan impak negatifnya yang mampu memudaratkan industri dan ekonomi negara.

Sehubungan itu, kerajaan perlu mengambil langkah yang proaktif bagi menyelesaikan kemelut ini dengan segera. Tindakan awal pihak KPDNHEP mengeluarkan notis meminta penjelasan kepada syarikat yang terlibat adalah satu tindakan yang wajar dilakukan. Walau bagaimanapun, tindakan tegas terhadap syarikat yang terlibat perlu dipertimbangkan ekoran daripada tindakan menaikkan harga simen tanpa merujuk dan mendapat kelulusan pihak kementerian terlebih dahulu.

Justeru itu, kerajaan perlu mencari jalan terbaik bagi menghentikan atau mengurangkan kenaikan harga simen yang tidak munasabah ini. Sekiranya perkara ini berterusan tanpa kawalan, masalah kos sara hidup tinggi yang dihadapi oleh rakyat akan menemui jalan buntu. Selain itu, kenaikan harga rumah yang berlaku juga akan menyebabkan segala dasar pemilikan rumah mampu milik kerajaan akan tergendala dan tidak berjaya seterusnya rakyat kita berterusan tidak mampu memiliki rumah sendiri. Oleh itu, kerajaan khususnya KPDNHEP perlu lebih tegas dan tampil dengan pelan perancangan dengan lebih proaktif bagi menangani isu ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here