Ubat adalah salah satu keperluan setiap orang terutamanya bagi individu yang mempunyai penyakit. Rasanya tidak keterlaluan jika dikatakan pada masa kini kehidupan kita agak bergantung kepada ubat-ubatan bagi menjamin kesihatan dalam menjalani kehidupan yang baik.

Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah sejak beberapa tahun kebelakangan ini harga ubat di negara semakin mahal dan tidak terkawal. Situasi ini sudah pasti menggusarkan pengguna khususnya bagi individu yang terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan kerana penyakit kritikal.

Oleh itu, inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan mekanisme kawalan harga ubatan wajar diberikan kredit. Usaha ini sudah pasti melegakan banyak pihak kerana sebelum ini harga ubat-ubatan di pasaran dijual dengan harga yang agak mahal. Kemampuan rakyat mendapatkan ubat-ubatan bukan sahaja membantu mereka sembuh daripada penyakit malah ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos perbelanjaan perubatan.

Fenomena harga ubat yang berbeza sama ada di klinik atau farmasi telah lama dihadapi masyarakat di negara ini dalam penjagaan kesihatan. Sistem yang agak longgar dan kegagalan pihak berwajib mengawal harga ubat terutamanya di sektor swasta telah menyebabkan berlakunya monopoli ubat-ubatan oleh satu pihak sekaligus membuka ruang kepada mereka meletakkan dengan harga yang tinggi.

Monopoli satu pihak punca harga ubat semakin mahal

Sehubungan itu, kerajaan perlu menyelaraskan harga ubat sama ada di sektor awam atau pun swasta. Kawalan dan pemantauan terhadap syarikat pembekal, klinik dan farmasi juga perlu dilakukan secara berkala supaya perkara ini tidak berterusan walaupun selepas undang-undang khas diwujudkan.

Di samping itu, kerajaan juga boleh membuat rundingan bersama pembekal bagi mendapatkan kata sepakat mengenai isu ini. Situasi ‘menang-menang’ perlu diberikan perhatian supaya tidak ada sebarang perkara berbangkit yang mampu menjejaskan mana-mana pihak khususnya pengguna.

Pelaksanaan kawalan harga ubat sememangnya penting bagi menjaga kepentingan masyarakat di negara ini. Sementara itu, bagi memastikan perancangan ini berjaya dilakukan semula pihak perlu memberikan kerjasama dengan pihak kerajaan dalam sebarang rundingan atau undang-undang.

KKM dalam peringkat akhir penyelarasan harga ubat

Ironinya, ubat-ubatan adalah merupakan satu keperluan yang mendesak kepada pengguna terutamanya pesakit-pesakit kronik. Oleh itu, kebergantungan mereka terhadap ubat-ubatan adalah tinggi bagi memastikan mereka dapat sembuh dan meneruskan kelangsungan hidup.

Di sinilah pentingnya kepada kerajaan dalam memastikan mekanisme kawalan harga ubat dapat dilaksanakan dengan segera dan berjaya supaya masyarakat negara ini tidak terus terbeban dengan harga ubat yang mahal. Tidak ada siapa pun di dunia ini memilih untuk sakit. Namun, sebagai kerajaan yang sentiasa prihatin kepada kesusahan rakyat, isu ini seharusnya diberikan keutamaan kerana ia semakin hari semakin meruncing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here