Apabila disebut tentang seni kaligrafi sudah tentu masyarakat negara ini akan melihat tentang kontroversi penulisan jawi atau khat yang sedang diperkatakan buat masa kini. Tetapi Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan seni dan rakyat perlu sedar tentang perkara tersebut kerana seni kaligrafi bukan sahaja melibatkan tulisan jawi tapi termasuk juga dengan kaligrafi Cina.

Kaligrafi jawi dan Cina merupakan seni penulisan bersejarah dan memainkan peranan dalam membentuk semangat perpaduan dalam masyarakat. Mereka tidak boleh menganggap ianya merupakan satu propaganda untuk kepentingan masing-masing kerana seni penulisan sebegini merupakan ilmu yang menarik untuk dipelajari.

Pelajar Cina berminat untuk mempelajari tulisan jawi

Malah, perbezaan agama dan bangsa tidak boleh menjadi penghalang kepada pembelajaran seni ini kerana pembelajaran jawi tidak menjadikan bangsa lain menjadi Melayu Muslim dan pembelajaran kaligrafi Cina juga tidak mengubah Melayu kepada Cina. Persepsi sebegini perlu diubah supaya minda generasi muda tidak dicemari dengan pemikiran kolot sesetengah pihak.

Oleh kerana itu, kerajaan perlulah meneutralkan isu ini kerana isu penulisan kaligrafi telah menjadi alat perkauman serta politik sesetengah pihak. Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya perlu melaksanakan satu karnival kesenian kaligrafi untuk memberi pendedahan kepada generasi muda untuk mengetahui sejarah serta keunikan kaligrafi dalam negara ini.

Kaligrafi Cina juga menarik minat orang Melayu

Malah, menteri dan juga ahli politik harus tidak bersikap double standard tentang perkara ini semata-mata untuk mempertahankan pendapat sendiri sedangkan perbuatan mereka itu telah memecahkan masyarakat Malaysia. Ini kerana perselisihan masyarakat kemungkinan bertambah buruk jikalau isu ini tidak ditangani dengan baik.

Justeru, punca permasalahan yang berlaku terhadap isu ini bukanlah disebabkan oleh kaligrafi jawi atau Cina. Tetapi puncanya ada sikap pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menanam kebimbangan terhadap masyarakat dan menggunakan seni kaligrafi ini untuk agenda tersendiri sedangkan ia telah merosakkan keindahan seni penulisan tersebut yang harus dihayati oleh masyarakat serta generasi akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here