Perkataan pemimpin boleh ditafsirkan sebagai individu yang boleh memberi pengaruh kepada individu lain ataupun kumpulan masyarakat di dalam suatu pertubuhan. Kebiasaannya pemimpin yang dipilih oleh rakyat adalah dari kalangan individu yang mempunyai idea yang tersendiri dalam pengurusan sesuatu organisasi.

Begitu juga di dalam bidang politik dan negara, para pemimpin dipilih oleh rakyat menerusi Pilihanraya Umum (PRU) yang diadakan setiap lima tahun. Tujuan para pemimpin ini dipilih adalah bagi memastikan pentadbiran negara sentiasa berjalan dengan lancar di bawah kendalian seorang Perdana Menteri. Bukan hanya melibatkan negara, malah pemilihan ini juga meliputi Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi memastikan kebajikan rakyat di tempat mereka wakili diurus dan dibela dengan sewajarnya.

Teguran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada para pemimpin hari ini memberi bayangan keperibadian pemimpin Malaysia hari ini

Bagaimana mereka dipilih? Adakah dari segi kedudukan, pangkat dan kekayaan? Bukan, ketiga-tiga perkara itu tidak memberi jaminan seseorang itu dipilih oleh rakyat sebagai pemimpin. Pemimpin yang berkaliber dipilih melalui keperibadian yang unggul seperti dari segi latar belakang pendidikannya, sifat sentiasa merendah diri dan mudah mesra terhadap masyarakat setempat serta tegas dalam membuat keputusan.

Selain itu, pemilihan seorang pemimpin itu juga diukur daripada khidmat dan jasa mereka terhadap rakyat Malaysia dan negara. Antara contoh individu yang boleh dilihat adalah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di mana pencapaian dan jasa beliau dalam memajukan Malaysia sehingga dikenali di seluruh dunia, maka tidak hairanlah beliau mendapat gelaran “Bapa Permodenan Negara”. Hal ini kerana kewibawaan beliau dalam memastikan negara berdiri seiring maju dengan negara-negara moden lain serta memajukan ekonomi masyarakat negara ini.

Selari dengan pembentukan negara, para pemimpin yang dipilih haruslah menjalankan tugas yang diamanahkan dengan begitu konsisten dan sentiasa mengambil tahu kebajikan rakyat di kawasan mereka. Hal ini kerana mereka yang mewakili suara rakyat menerusi aduan yang dilaporkan dan mereka juga harus merasai penderitaan yang ditanggung oleh rakyat.

Kepimpinan Tok Mat sentiasa menjadi sanjungan masyarakat Rantau

Namun, apa yang terjadi pada hari ini adalah sebaliknya di mana ramai pemimpin yang dipilih mengabaikan tugas mereka untuk berkhidmat kepada rakyat. Seperti kata Tun Mahathir “segelintir pemimpin terlalu terpisah dengan kehidupan rakyat kebanyakan sehingga menyebabkan penderitaan yang sepatutnya boleh diatasi, dibiarkan berterusan”. Hal ini kerana apabila seorang pemimpin itu datang daripada golongan aristokrat, autokratik dan berketurunan diraja, mereka berkecenderungan untuk tidak memahami penderitaan orang biasa.

Hakikatnya, hidup seorang pemimpin adalah untuk mengabdikan diri kepada rakyatnya. Ini kerana mereka perlu mengambil tahu kesemua perkara berkaitan masyarakat di kawasan mereka bermula daripada soal ekonomi dan sosial hinggalah membawa kepada soal kebajikan. Oleh itu, mereka seharusnya menyelami setiap kesusahan yang ditanggung oleh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Melalui cara itulah, para pemimpin dihormati di kalangan penyokongnya, sama seperti ADUN Rantau daripada parti pembangkang, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sentiasa mengambil tahu hal ehwal kebajikan masyarakat di kawasannya. Bukanlah bermakna ADUN di kawasan lain tidak berfungsi, tetapi cara kepimpinan ADUN Rantau ini dilihat lebih sistematik. Maka, tidak hairanlah sekiranya beliau disayangi oleh penyokong dan disegani oleh pihak lawan.

Menjadi seorang pemimpin bukanlah suatu perkara yang mudah, apatah lagi jika mereka berada di dalam suatu situasi yang genting. Segala aspek perlu diteliti sebelum membuat sebarang keputusan. Ini kerana jika seorang pemimpin mengabaikan rakyat di bawah jagaannya, maka perbuatan itu sudah dikira sebagai kes penganiayaan kerana membiarkan rakyat menanggung derita.

Justeru, para pemimpin disarankan supaya menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat dengan seadil-adilnya. Ini kerana setiap pekerjaan mereka akan dinilai oleh rakyat yang sentiasa memerhati. Sekiranya baik, maka keputusannya baik. Tetapi sekiranya tidak, keputusan sebaliknya akan diberikan. Jadilah pemimpin berwibawa yang sentiasa peka akan masalah rakyat di kawasan mereka. Pemimpin hebat, sanjungan rakyat!!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here