Pada satu ketika, Malaysia adalah salah sebuah negara yang mengamalkan konsep pelancongan berasaskan hidupan liar sebagai tarikan pengunjung khususnya pelancong asing. Namun, kini mungkin tidak ramai yang sedar bahawa hidupan liar di Malaysia semakin terancam dek kerana sikap manusia sendiri.

Aktiviti pemburuan secara haram, aktiviti pembalakan dan pencemaran hutan adalah antara faktor utama yang menyebabkan hidupan liar semakin terancam dan di ambang kepupusan. Maka, tidak hairanlah sekiranya semakin hari haiwan-haiwan liar ini didapati kehilangan habitat sehingga memasuki kawasan penempatan manusia.

Seorang individu yang didakwa atas kesalahan memelihara beruang dan kejadian dua ekor harimau masuk ke kampung di Terengganu, telah menunjukkan bahawa hidupan ini diancam sekaligus hilang arah kerana kehilangan habitat. Oleh itu, sudah tiba masanya perkara ini perlu dipandang serius oleh pihak berwajib bagi menumpukan perhatian dalam melindungi hidupan liar.

hidupan liar di Malaysia di ambang kepupusan

Kerakusan manusia meneroka hutan dalam mengejar pembangunan telah memberi kesan buruk kepada hidupan liar. Ini membuktikan bahawa peruntukan hukuman mengikut Akta Perlindungan Haiwan Liar 2010 masih belum mencukupi untuk memelihara hidupan liar daripada diancam.

Keindahan flora dan fauna merupakan salah satu keunikan yang ada di Malaysia. Fenomena ancaman hidupan liar akan menyebabkan sesuatu spesies itu tidak akan dapat dibiakkan. Oleh itu, hidupan liar juga berhak untuk dilindungi serta dipantau secara konsisten agar tidak mengalami kepupusan dan dapat dikekalkam untuk tatapan generasi akan datang.

Usaha Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam memelihara hidupan liar bagaikan ‘mencurah air ke daun keladi’ apabila ia masih tidak mendapat kerjasama pihak tertentu serta belum mampu menyedarkan masyarakat kita. Oleh itu, adalah wajar sekiranya Jabatan Perhilitan perlu tampil dengan langkah yang lebih proaktif bagi menangani isu ini.

Walau bagaimanapun, perkara ini tidak seharusnya hanya bergantung kepada Jabatan Perhilitan semata-mata. Kerjasama dari pihak NGO dalam mendidik masyarakat kita untuk memelihara hidupan liar juga adalah penting. Sehingga kini, masyarakat kita masih belum sedar bahawa hidupan liar seharusnya dilindungi bersama.

Kejadian harimau masuk kampung bukti habitat mereka diganggu

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan merangka satu pelan perancangan dalam mewujudkan pendidikan mengenai alam sekitar supaya ia dapat diterapkan kepada generasi muda. Di samping itu, pelaksanaan undang-undang pemeliharaan hidupan liar juga adalah sangat penting dilakukan secara tegas supaya tidak ada pihak yang memandang enteng terhadap usaha kerajaan dalam melindungi hidupan liar.

Secara keseluruhannya, hidupan liar yang semakin pupus akan menyebabkan ekosistem menjadi tidak seimbang. Oleh itu, pemuliharaan hidupan liar adalah sangat penting bagi mengekalkan ekosistem. Kemajuan pembangunan tidak seharusnya menjadi alasan dan kealpaan kita dalam melindungi dan memelihara hidupan liar. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya memikul tanggungjawab ini bersama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here