Kes menghina agama kini semakin menjadi-jadi hingga mencetuskan kemarahan ramai pihak dalam negara ini dan dilihat sengaja dilakukan semata-mata untuk kepuasan diri masing-masing. Perbuatan pihak tidak bertanggungjawab ini banyak dilakukan dalam laman media sosial dengan mengeluarkan ‘posting’ menghina agama lain dan rakyat Malaysia mahu kerajaan mengambil tindakan tegas untuk menghukum pelaku tersebut.

Baru-baru ini pihak polis telah berjaya menahan empat individu yang merupakan pemilik akaun media sosial kerana perbuatan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad S.AW manakala seorang lagi sudah dijatuhkan hukuman penjara. Seorang lagi pemilik akaun Facebook “Zamri Bin Abd Razak” pula telah ditahan kerana dipercayai memuat naik komen jelik terhadap agama Hindu. Kesemua yang ditahan akan didakwa atas kesalahan melanggar Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kesalahan menghina agama perlu dikenakan hukuman berat supaya menjadi pengajaran

Kerana itulah pentingnya penguatkuasaan undang-undang dalam negara bagi menghalang mana-mana pihak cuba melakukan perbuatan terkutuk ini dan hukuman lebih berat perlu dikenakan bagi memberi pengajaran kepada orang lain. Jika hukuman berat tidak dilaksanakan oleh kerajaan, perbuatan ini akan lebih kerap dilakukan kerana mereka telah menyalahgunakan hak menggunakan media sosial dan bebas melakukan apa sahaja hingga menyentuh perkara sensitif.

Perbuatan menghina agama ini juga telah disentuh oleh mufti dan beberapa pemimpin politik dari kerajaan dan pembangkang yang mahukan tindakan tegas dikenakan kepada pihak terlibat. Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyuarakan nada yang sama dan mahu perbuatan menanam kebencian dan menghina agama perlu diberi tindakan tegas kerana ia adalah perbuatan yang jahat serta tidak menguntungkan negara.

Selain itu, Malaysia mempunyai undang-undang khusus untuk menjaga kesucian agama masing-masing dan segala hasutan tidak sepatutnya berlaku dalam negara ini. Jika kerajaan menggubal undang-undang dan memberi hukuman lebih keras ke atas mereka yang menyentuh sensitiviti agama, ia boleh memberi pengajaran kepada setiap rakyat Malaysia dengan menyatakan kerajaan akan bertindak tegas terhadap kesalahan tersebut. Mereka perlu sedar setiap perbuatan tersebut boleh memberi kesan kepada mereka sendiri dan juga orang lain.

Penghinaan agama boleh mencetuskan ketegangan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia

Justeru, kerajaan perlu bertindak tegas dan memberi hukuman berat kepada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia terhadap perkara ini. Natijahnya, ia boleh menjejaskan keharmonian negara kerana isu agama merupakan isu sensitif malah Institusi Beraja dalam negara ini juga menekankan perkara yang sama. Tindakan tidak bermoral seperti menghina agama lain perlu dibanteras dengan segera dan lebih serius supaya ianya tidak lagi berlaku pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here