Pihak yang terlibat dalam penularan video pelajar sekolah menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasan Mandarin baru-baru ini perlu dikenakan tindakan kerana melanggar Perlembagaan Negara. Ini kerana lagu Negaraku tidak boleh diubah seperti yang diwartakan dalam Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Kontroversi lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin mendapat perhatian ramai

Walaupun tujuan lagu itu diubah untuk memberi kefahaman dalam maksud, tujuan dan adab kepada pelajar apabila dinyanyikan, ianya perlulah hanya menggunakan bahasa Kebangsaan sahaja. Ini kerana lirik lagu Negaraku seperti dalam Akta Lagu Kebangsaan 1968 hanya menggunakan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu. Jadi penggunaan bahasa lain diibaratkan tidak menghormati isi kandungan akta tersebut.

Malah, negara Singapura yang mempunyai majoriti bangsa Cina pun tidak mengubah lirik lagu ‘Majulah Singapura’ kerana ia bertentangan dengan Bahagian Empat Peraturan Lagu Kebangsaan, Lambang dan Bendera Singapura iaitu ‘Mana-mana orang yang menyanyi lagu kebangsaan mesti mengikut lirik rasmi dan tidak boleh menyanyi apa-apa terjemahan dari lirik berkenaan’.

Oleh kerana itu, pihak kerajaan perlu memandang serius perkara ini kerana lagu Negaraku merupakan simbol penting kedaulatan negara dan menjadi lagu rasmi kebangsaan sejak ianya diwartakan. Menukarkan bahasa lirik tersebut untuk tujuan pembelajaran maksud dan adab lagu ini juga tidak seharusnya berlaku kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara ini seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Akta Lagu Kebangsaan 1968 perlu dihormati rakyat Malaysia

Kerajaan juga perlu menambahbaik Akta Lagu Kebangsaan 1968 dengan memasukkan larangan penukaran bahasa lirik lagu untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku pada masa akan datang. Malah mana-mana individu melanggar kesalahan akta ini perlu diberi hukuman lebih berat kerana melibatkan kedaulatan negara.

Justeru, rakyat Malaysia perlu sedar tentang kepentingan menghormati lagu Negaraku supaya generasi muda dapat menghargai setiap maksud lirik bukan sekadar menghafalnya sahaja. Maka Kementerian Pendidikan Malaysia perlu menegaskan kepada semua sekolah untuk tidak melanggar undang-undang melibatkan Perlembagaan dan menjadikan pelajar sebagai mangsa kepada apa-apa perkara yang boleh disifatkan anti nasional.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here