Hospital atau klinik? Mana yang lebih utama dalam memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia. Kedua-dua fasiliti itu sama-sama penting dalam menyediakan kemudahan dari segi perawatan kesihatan. Namun, hospital lebih banyak menawarkan fasiliti yang menyeluruh dan lengkap. Tetapi fungsi klinik terutamanya klinik kesihatan tidak perlu dipandang sepi. Daerah-daerah kecil terutama di kawasan kampung sangat-sangat memerlukan fasiliti klinik kesihatan kerana melalui klinik ini ibu-ibu mengandung, bayi dan warga emas mendapatkan rawatan.

Memilih salah satu fasiliti untuk dibina oleh kerajaan bukanlah perkara mudah kerana kedua-duanya memainkan peranan yang sama penting. Bezanya, semua kepakaran perubatan dalam unit yang berbeza ada di hospital manakala di klinik kesihatan hanya mempunyai pegawai perubatan dan pembantu perubatan dengan pengkhususan rawatan yang terhad.

Kepentingan kedua-dua kemudahan ini bergantung kepada demografi sesebuah daerah atau negeri. Baru-baru ini calon ADUN Semenyih, Muhammad Aiman Zainali di dalam kempennya bagi PRK Semenyih membangkitkan isu untuk mencadangkan pembinaan hospital di daerah Semenyih jika beliau menang pada PRK Mac ini. Tetapi, cadangan beliau telah ditolak oleh Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang menyatakan bahawa pembinaan hospital di Semenyih adalah tidak munasabah. Pembinaan klinik kesihatan adalah lebih wajar di kawasan Semenyih. Walaupun demografi penduduk Semenyih menunjukkan jumlah taburan penduduk sebanyak 54,503 orang, namun penduduk di sana mempunyai pilihan hospital yang terdekat. Jarak Hospital Serdang dengan Semenyih ialah 26.6 km yang mengambil masa 26 minit dan Hospital Kajang iaitu 12 km dengan tempoh perjalanan selama 15 minit.

Pembinaan klinik kesihatan di Semenyih lebih munasabah

Jika perbandingan dan pilihan diberikan oleh rakyat Malaysia, negeri manakah yang perlu diberi keutamaan untuk pembinaan hospital sudah pasti Perlis adalah salah satu yang perlu ada dalam senarai utama kerajaan Malaysia. Walaupun negeri terkecil di negara ini secara keseluruhannya dipegang oleh pembangkang, tetapi jika melibatkan rawatan kesihatan rakyat Malaysia, pasti tiada unsur berat sebelah oleh pihak kerajaan. Seramai 251,500 orang penduduk Perlis terpaksa mendapatkan kemudahan rawatan hanya di sebuah hospital iaitu Hospital Tuanku Fauziah. Sudahlah hanya ada satu hospital, kemudahan pula tidak lengkap dan mempunyai keluasan yang agak kecil, sudah tentu penduduk yang mendapatkan rawatan terpaksa ‘bersesak’ semasa tempoh menunggu.

Satu-satunya hospital di Perlis

Melalui aduan rakyat di akhbar Malaysiakini salah seorang penduduk Perlis memberikan laporan bahawa hospital di sana kekurangan fasiliti perubatan jantung sehinggakan ibu beliau terpaksa mendapatkan rawatan di Alor Setar, Kedah. Jarak di antara negeri Perlis dengan Hospital Sultanah Bahiyah ialah 62.3 km di mana tempoh perjalanan ke sana selama satu jam. Itu adalah antara pilihan hospital kerajaan yang terdekat di negeri Perlis. Bayangkan jika terdapat penduduk yang tidak memiliki kemudahan kenderaan, maka mereka terpaksa ‘berebut-rebut’ untuk menggunakan fasiliti di Hospital Tuanku Fauziah, kerana itu sahajalah pilihan yang ada.

Kerajaan memerlukan satu kajian mengenai demografi taburan penduduk di setiap negeri dan daerah di Malaysia sebelum memutuskan pembinaan hospital atau klinik kerajaan. Kita tidak mahu kerajaan menanggung kerugian jika pembinaan hospital dilakukan pada tempat yang kurang kepadatan penduduk. Jumlah penduduk yang kian bertambah, memerlukan kajian yang terperinci. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia berhak mendapatkan fasiliti kedua-dua kemudahan ini tanpa mengira negeri yang mempunyai perbezaan fahaman politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here