Penginapan adalah antara perkara asas bagi mana-mana pelancong dalam dan luar negara. Kecanggihan teknologi masa kini menjadikan pengguna memiliki pelbagai pilihan dalam melakukan sebarang urusan dan ini termasuklah untuk membuat penempahan tempat penginapan ketika melancong atau bercuti.

Menjadikan penginapan sekadar tempat persinggahan di waktu malam, ia menjadi alasan kepada mereka untuk memilih penginapan yang lebih murah. Hotel bajet dan homestay adalah antara penginapan paling popular di kalangan pelancong untuk dijadikan tempat tinggal kerana harganya lebih ekonomi. Namun, pilihan setiap individu adalah berbeza mengikut keperluan dan bajet masing-masing.

Traveloka dan Agoda adalah antara perkhidmatan penginapan atas talian yang tidak asing lagi namun melihat kepada perkembangan masa kini, kehadiran Airbnb telah memberikan warna baru dalam industri perhotelan. Hal ini kerana Airbnb merupakan salah satu platform atas talian yang memudahkan orang ramai mencari tempat penginapan yang lebih murah. Ekoran daripada itu, Airbnb juga semakin menjadi pilihan pelancong di Malaysia kerana dikatakan harga yang ditawarkan juga lebih murah daripada hotel bajet.

Sehubungan itu, ini telah menimbulkan rasa kurang puas hati dan rungutan oleh pengusaha hotel bajet kerana perniagaan mereka mula terjejas sejak kemunculan Airbnb. Antara rungutan pengusaha hotel bajet adalah pengendali Airbnb tidak dikenakan sebarang cukai berbanding mereka yang dikenakan pelbagai cukai. Selain itu, tawaran harga yang lebih murah daripada hotel bajet juga telah menyebabkan mereka mengalami kerugian kerana terpaksa bersaing harga sehingga terdapat segelintir hotel bajet telah pun berhenti beroperasi kerana mengalami kerugian yang banyak.

Pengusaha hotel bajet dakwa bakal lingkup

Selain itu, Airbnb juga turut menawarkan sewaan bilik bagi pelancong yang hanya ingin menempah bilik seperti hotel walaupun ianya adalah sebuah homestay. Maka, ini juga antara faktor mengapa pengusaha hotel bajet semakin resah kerana pengunjung mempunyai pilihan yang lebih baik dengan harga yang lebih murah daripada harga bilik bajet hotel.

Sekiranya perkara ini berterusan maka tidak hairanlah sekiranya selepas ini akan lebih banyak hotel bajet terpaksa menghentikan operasi. Oleh itu, kerajaan perlu mengkaji semula mengenai perkhidmatan Airbnb di negara ini bagi menangani isu ini. Rungutan yang dikemukakan oleh pengusaha hotel tidak seharusnya dipandang enteng kerana adalah tidak adil bagi mereka kerana mereka telah beroperasi sejak sekian lama.

Perkhidmatan airbnb semakin mendapat tempat di malaysia

Selain itu, pendapat mereka juga perlu diberikan perhatian kerana selama ini mereka menjalankan perniagaan berlandaskan undang-undang yang telah ditetapkan kerajaan. Maka adalah wajar sekiranya kerajaan mencari satu mekanisme yang sesuai dan terbaik bagi menangani isu ini tanpa menjejaskan mana-mana pihak. Sebagai contoh, kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan di mana perkhidmatan Airbnb perlu membuat pendaftaran secara sah untuk beroperasi serta dikenakan cukai yang sepatutnya sama seperti perniagaan lain.

Justeru itu, adalah penting untuk kerajaan tampil dengan pelan yang lebih strategik dalam menghadapi isu ini. Walaupun perkhidmatan ini adalah pilihan pengguna sendiri, namun sebagai kerajaan yang prihatin isu ini perlu ditangani dengan segera supaya tidak ada pihak yang rasa tertindas dengan undang-undang akibat daripada ketidakpekaan kerajaan terhadap permasalahan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here