Malaysia dan Indonesia, hubungan dua hala yang sudah diibaratkan seperti ‘saudara kembar’ ini tidak pernah lekang dengan kontroversi. Sebut sahaja apa-apa isu, tidak kiralah dari sekecil-kecil isu yang berkaitan dengan sukan hingga sebesar-besar isu berkaitan pembantu rumah, pasti ada hubung kaitnya di antara dua negara ini.

Sejarah pernah menyatakan mulanya bibit-bibit pertelagahan di antara negara Republik tersebut dengan negara ini bermula apabila para pemimpin dan rakyat Indonesia menentang pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Kemarahan mereka memuncak apabila Tunku Abdul Rahman mengumumkan pembentukan Negara Malaysia pada 16 September 1963. Bagi mereka, pembentukan Malaysia merupakan satu alat “boneka neo-kolonial” atau agenda barat untuk menentang Indonesia yang akhirnya mencetuskan gerakan ‘Ganyang Malaysia’ oleh pasukan komando dari Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI).

Isu jerebu rentas sempadan sering menjadi perdebatan rakyat dua negara ini

Walau bagaimanapun, sentimen ini tidak berakhir begitu sahaja. Malah gerakan anti-Malaysia dilihat semakin ketara dengan pelbagai isu berkaitan soal keselamatan hingga akhirnya ‘memancing’ perhatian rakyat dan media Indonesia. Mengapa? Kerana minda mereka telah ‘disogok’ dengan sentimen ‘Ganyang Malaysia’ sedari usia masih kecil dan hanya digambarkan dengan keburukan akhlak rakyat negara ini lebih-lebih lagi dalam soal layanan masyarakat Malaysia ke atas Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang bekerja di sini.

Selain itu, provokasi melampau ke atas beberapa isu yang melibatkan sosio budaya di antara dua negara ini juga turut menjadi faktor kemarahan rakyat Indonesia. Isu seperti tarian Barongan, lagu ‘Rasa Sayang’ dan makanan tradisi seperti popiah menjadikan rakyat negara Republik itu menganggap Malaysia sebagai pencuri identiti negara mereka hingga menggelarkan negara ini sebagai “Malingsia”.

Mengapa sering berlakunya pertelagahan di antara kedua-dua negara tidak kira dalam apa isu sekalipun? Kerana sentimen anti-Malaysia tidak akan pernah pudar dalam diri setiap rakyat Indonesia. Hal ini kerana pengaruh dan pembentukan minda mereka yang menganggap Malaysia adalah negara musuh yang sentiasa mengintai peluang untuk ‘menawan’ Indonesia. Oleh sebab itu, setiap kali adanya isu yang berkaitan Malaysia dan Indonesia, rakyat Indonesia akan melahirkan rasa kurang senang. Sebagai contoh, isu paling popular, jerebu.

Mengapa isu jerebu rentas sempadan ini masih lagi belum selesai? Kerana kurangnya komunikasi dua hala di antara pemerintah Malaysia dan Indonesia dalam mencari penyelesaian bagi menangani isu ini. Ini mencetuskan pertelingkahan rakyat kedua-dua buah negara tidak kira sama ada di media sosial mahupun media cetak masing-masing dan akhirnya mereka saling menuding jari menyalahkan pemerintah negara jiran. Sekiranya isu ini berlarutan, nescaya pelbagai impak ketegangan akan berlaku dalam hubungan dua hala ini.

Hubungan Malaysia-Indonesia harus diperbaiki dari segi komunikasi dua hala

Antaranya impak tersebut sudah tentu berkaitan dengan soal keselamatan di sempadan Malaysia dan Indonesia. Mungkin akan terjadi pemberontakan atau pencerobohan hingga akhirnya menyebabkan hubungan dua negara ini berantakan dan saling menyalahkan di antara satu sama lain. Bukan itu sahaja, impak lain yang boleh dilihat adalah kesan terhadap ekonomi kedua-dua buah negara. Hal ini kerana apabila hubungan dua hala ini terputus, maka akan ada satu gerakan memboikot hasil dagangan dan akhirnya menyebabkan pertumbuhan ekonomi dua negara terbantut.

Justeru, kerajaan Malaysia dan Indonesia disarankan untuk mengadakan pertemuan empat mata atau mengadakan konvensyen dua hala bagi menyelesaikan isu ini secara proaktif. Ini kerana ia berkaitan dengan soal keselamatan kedua-dua buah negara rakyatnya. Sekiranya kedua-dua buah negara tidak saling berganding bahu dalam segala hal, percayalah akan ada pihak ketiga yang cuba ‘masuk jarum’ dan seterusnya mengambil kesempatan daripada pertelagahan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here