Tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia dilihat bakal menjadi lebih sukar kerana kerajaan bercadang untuk melaksanakan hukuman khidmat sosial bagi pesalah peraturan merokok di tempat awam. Hukuman khidmat sosial adalah merupakan satu hukuman yang diperintahkan mahkamah. Oleh itu, pesalah yang disabitkan hukuman akan melakukan kerja tanpa bayaran yang memberi faedah kepada masyarakat.

Seperti sedia maklum bahawa larangan merokok di kedai makan atau restoran sudah pun dilaksanakan. Malah, sudah banyak papan tanda larangan merokok diletakkan di tempat makan dan di tempat awam.

Sebelum ini, kerajaan telah menetapkan bahawa pesalah akan dikenakan denda dan hukuman penjara sekiranya gagal membayar denda. Namun, kini pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam perancangan untuk melaksanakan hukuman khidmat sosial seperti membersihkan tandas, memungut sampah dan memotong rumput bagi pesalah larangan merokok di tempat awam.

Kita semua tahu bahawa Singapura adalah salah sebuah negara yang penuh dengan 1001 peraturan. Cadangan ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia telah pun dilaksanakan di Singapura dan Australia. Kedua-dua negara ini mengenakan denda dan hukuman kepada pesalah perokok secara serta merta. Maka, tidak hairanlah sekiranya ia menjadi contoh kepada negara-negara lain.

KKM optimis hukuman khidmat sosial adalah yang terbaik

Oleh itu, pelaksanaan peraturan tersebut bukan sahaja memupuk kesedaran kepada pesalah malah ia juga mendatangkan manfaat kepada masyarakat. Melalui hukuman ini juga ia dapat memupuk rasa insaf dan tanggungjawab kepada individu terbabit supaya bertanggungjawab dalam mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Namun, seperti biasa cadangan ini turut mendapat perhatian netizen terutamanya di media sosial. Apa yang agak mengejutkan adalah kebanyakan daripada mereka bersetuju dengan peraturan tersebut kerana beranggapan ia adalah lebih baik daripada dikenakan denda dan hukuman penjara. Semuanya bergantung kepada individu sama ada untuk mematuhi peraturan atau masih berdegil untuk merokok di premis makanan.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir daripada mereka juga tidak bersetuju dengan peraturan ini kerana berpendapat merokok di mana-mana kawasan adalah menjadi hak sesiapa sahaja. Oleh itu, mereka turut sarankan supaya pihak KKM menumpukan pada isu yang lebih serius seperti menambahbaik perkhidmatan hospital dan klinik kerajaan berbanding isu ini.

Masyarakat perlu bertanggungjawab terhadap undang-undang dan persekitaran

Walau bagaimanapun, pelaksanaan peraturan ini juga perlulah dirancang dengan baik terutamanya dalam melaksanakan hukuman terhadap mana-mana pesalah. Selain itu, pemantauan yang ketat juga wajar dilakukan bagi memastikan pelaksanaannya dapat mencapai objektif. Hukuman ini tidak seharusnya bersifat seperti ‘melepaskan batuk di tangga’.

Ironinya, cadangan ini sememangnya satu langkah yang wajar dilaksanakan kerana ia bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan. Di samping itu, ia juga dapat memupuk rasa tanggungjawab di kalangan rakyat Malaysia terhadap alam sekitar dan orang sekeliling. Selain itu, ia juga bukanlah satu langkah yang terlalu drastik kerana masyarakat khususnya perokok diberi masa yang cukup untuk membiasakan diri supaya tidak merokok di tempat awam sejak 1 Januari yang lalu. Oleh itu, ia boleh dikatakan satu inisiatif yang baik dalam membendung amalan merokok di kalangan rakyat Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here