Terfikir sejenak apabila ada seorang ibu berkongsi cerita di radio Sinar menerusi segmen ‘Pagi Di Sinar’ yang anaknya baru berusia lapan tahun telah mempunyai ‘boyfriend’ seperti Zul Ariffin. Malah ibu itu secara jujurnya mengambil pendekatan ‘tidak kisah’ kerana menganggap itu hanya ‘cinta monyet’.

Ada dua perkara yang membuatkan penulis terfikir. Pertama, budak-budak sekarang semakin matang, walaupun baru berusia lapan tahun mereka sudah mempunyai keinginan untuk mempunyai ‘boyfriend’ seperti Zul Ariffin. Kedua, sikap ‘tidak kisah’ ibu bapa yang akhirnya mungkin akan memusnahkan masa hadapan kanak-kanak itu.

Itu baru soal berkaitan dengan trend ada ‘boyfriend’ di kalangan pelajar atau kanak-kanak perempuan. Bagaimana pula dengan pelajar lelaki? Pasti kebanyakan daripada mereka akan memilih vape sebagai trend yang paling ‘macho’ ketika ini.  Bukan hanya pelajar lelaki, malahan pelajar perempuan juga tidak mahu ketinggalan dalam mengejar arus kemodenan ini.

Trend vape di kalangan pelajar sekolah

Perkembangan trend ini sebenarnya satu budaya yang tidak sihat. Bukan sahaja dari segi kesihatan fizikal, bahkan dari segi rohani dan sahsiah. Bukankah tidak manis apabila kita terpandang seorang anak perempuan yang penuh kelembutan sedang mengeluarkan asap berkepul-kepul dikhalayak ramai. Manakala anak lelaki yang sepatutnya dididik menjadi tanggungjawab sedang melepak bersama rakan-rakan sambil menghisap vape.

Berbalik kepada fitrah anak-anak ini, mereka menjadikan ibu bapa sebagai contoh dan ‘guru pertama’ untuk mendidik. Namun jika kebanyakan ibu bapa mengambil pendekatan ‘tidak kisah’ dan menganggap anak-anak ini masih kecil, maka stigma itu perlu diubah. Kalau tidak dari mana datangnya peribahasa ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Guru juga memainkan peranan untuk menunjukkan contoh yang baik

Walaupun trend ini masih lagi pada skala terkawal, namun tindakan proaktif perlu diambil segera oleh semua pihak terutamanya ibu bapa untuk menangani isu ini. Kebanyakan perokok tegar konvensional akan beralih kepada penggunaan vape untuk mengubah tabiat mereka. Alasan klise yang mudah kita dengar, penggunaan vape lebih selamat daripada rokok tembakau.

Namun sejauh mana kebenaran kenyataan itu? Menurut Profesor Shyam dari Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health di Amerika Syarikat asap rokok vape mampu merosakkan DNA dan molekul dalam sel sehingga menyebabkan kematian sel tubuh.

Itu belum lagi jika kita ambil kira kandungan wap vape yang mengandungi formalin dan asetaldehida. Kedua-dua bahan yang dikenali sebagai karsinogen ini mampu menjadi pencetus kanser hingga menyebabkan kematian.

Mengejar trend untuk kelihatan moden dan tidak dianggap sebagai ketinggalan itu perkara biasa. Namun berbaloikah jika kita perlu menanggung risiko penyakit kronik semata-mata mahu mengikuti perkembangan trend yang mungkin akan kekal dalam tempoh yang singkat? Sebab itu orang-orang tua pernah berpesan ‘ikut rasa binasa, ikut hati mati’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here