Ogos adalah bulan yang sangat sinonim dengan bulan Kemerdekaan dan semangat patriotisme. Malah, kita baru sahaja selesai menyambut Hari Kemerdekaan dan dapat dilihat rakyat pelbagai kaum tidak mengira usia membanjiri Dataran Putrajaya bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan dengan penuh semangat patriotik.

Namun, apakah kesedaran terhadap patriotisme hanya dizahirkan pada bulan Ogos semata-mata? Semangat patriotisme tidak akan hadir dalam diri melainkan penerapan melalui pendidikan ilmu kenegaraan terutamanya bagi generasi masa kini.

Mengenali negara bangsa tidak cukup dengan hanya menghafal tarikh kemerdekaan, hari Malaysia, jata negara dan sebagainya tetapi mengenali negara perlu lebih mendalam seperti pembentukan negara serta jatuh bangun negara ini.

Oleh itu, generasi kini perlu belajar mengenai konsep sistem demokrasi berparlimen, Raja Berperlembagaan dan Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan agar memahami sistem yang diamalkan di negara ini sekaligus memupuk semangat cintakan negara.

Suatu ketika dulu penganjuran program Biro Tata Negara (BTN) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dijadikan medium untuk memberi kesedaran, menyampaikan ilmu serta bimbingan mengenai negara. Program ini dilihat sangat realistik kerana bukan sahaja peserta belajar mengenai negara malah mereka dapat memupuk semangat perpaduan kerana program ini melibatkan pelbagai kaum dan bangsa. Sayangnya jika program sebegini tidak diteruskan kerana program sebeginilah menjadi medium penyampaian yang proaktif untuk generasi muda.

PLKN dan BTN antara program yang dapat menerapkan ilmu kenegaraan kepada generasi muda

Namun, walau negara sedang diuji dengan pelbagai isu perkauman dan agama, sambutan kemerdekaan baru-baru ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih lagi mempunyai semangat cintakan negara dan menghargai keamanan yang kita sedang kecapi.

Oleh itu, kerajaan perlu memperbanyakkan program-program meraikan peristiwa-peristiwa bersejarah negara ini agar secara tidak langsung ia melibatkan pelbagai lapisan masyarakat terutama golongan muda sekaligus ia menjadi pelajaran kepada golongan muda bahawa pentingnya menjaga keamanan negara dan pentingnya untuk mengeratkan hubungan perpaduan antara kaum di negara ini. Tanpa keamanan dan perpaduan tidak mungkin sambutan sebegini dapat diadakan dengan aman.

generasi muda perlu diterapkan dengan ilmu kenegaraan agar mempunyai semangat cintakan negara tanpa berbelah bagi

Ilmu kenegaraan ini sangat penting dalam diri setiap individu agar mempunyai jati diri yang kukuh dan ilmu ini akan menjadi panduan kepada setiap individu mengenai batas-batas kehidupan sebagai anak Malaysia. Tanpa ilmu kenegaraan yang kukuh dalam diri individu, ia hanya akan menjadi punca kepada pelampau politik dan agama yang mampu menggugat keselamatan negara.

Justeru, jati diri dan semangat cintakan tanah air akan lahir jika kita mempunyai ilmu kenegaraan dan seharusnya ilmu ini diterapkan kepada generasi muda demi keamanan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here