Perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China memberi implikasi yang sangat hebat, bukan sahaja terhadap kedua-dua negara besar tersebut, malah terhadap negara-negara lain yang terkesan kerana mereka mengamalkan prinsip ekonomi pasaran secara terbuka. Perang perdagangan ini boleh juga dikatakan sebagai kalah jadi abu, menang jadi arang, yang akhirnya nanti akan menaikkan harga barangan produk tertentu.

Perang perdagangan antara AS dan China ini berlaku apabila masing-masing telah meningkatkan tarif ke atas produk yang diperdagangkan ke negara mereka. Ianya dimulakan oleh AS yang sangat runsing dan ingin membuat perundingan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang kononnya mengatakan bahawa China telah melakukan pelanggaran terhadap hak harta intelektual.

Perang dagang di antara Amerika Syarikat dan China sememangnya menjadi perhatian seluruh dunia

Oleh itu, ketegangan perdagangan antara AS dan China bukan sahaja akan memberi impak kepada perdagangan dan pertumbuhan global, tetapi turut menjejaskan rantaian bekalan yang memberi kesan kepada perniagaan, pekerjaan dan pengguna. Kesan negatif daripada perang perdagangan ini dijangka meningkatkan kos perniagaan dan ketidakstabilan pasaran kewangan serta menjejaskan keyakinan pelabur.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, sebarang perkembangan yang berlaku kepada rakan dagangan negara utama akan memberi kesan langsung dan tidak langsung ke atas pertumbuhan ekonomi Malaysia. Ini kerana China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia bagi sembilan tahun berturut-turut serta menyumbang 13.5 peratus atau RM126 bilion kepada jumlah eksport sejak tahun 2017. AS pula merupakan destinasi eksport ketiga terbesar yang menyumbang 9.5 peratus atau RM88.7 bilion kepada jumlah eksport negara.

Walau bagaimanapun, kesan perang dagang AS dan China ini juga dapat memberikan kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara jika pelabur AS atau China memindahkan pelaburan mereka ke Malaysia. Malaysia juga akan mendapat manfaat jika, misalnya Amerika mahu mengeskport barangan ke China, negara itu boleh mengeskport melalui Malaysia dan negara ini boleh meletakkan label ‘Buatan Malaysia’ pada barangan itu.

Sekiranya pihak kerajaan tidak bijak mengawal keadaan ini ia akan memberi pelbagai kesan buruk kepada negara

Malaysia juga dapat meraih manfaat serta kelebihan disebalik daripada perang dagang yang sedang berlaku di antara China dan AS ini. Ia akan memberi kelebihan kepada perniagaan e-dagang di negara Asia Tenggara terutamanya Malaysia. Sejak perang perdagangan antara dua kuasa besar ekonomi dunia itu mula tercetus, kebanyakan syarikat e-dagang seperti Taiwan dan Hong Kong kini mula mengalihkan perniagaan mereka ke Asia Tenggara. Peranan Malaysia sangat penting kerana dalam kebanyakan negara Asia Tenggara, Malaysia diketahui lebih kehadapan dalam perniagaan e-dagang. Pihak kerajaan perlu peka terhadap keadaan ini sekaligus mengambil peluang ini untuk memperluaskan lagi perniagaan e-dagang kepada rakyat Malaysia.

Peperangan dagangan di antara China dan AS ini sudah pasti telah mendapat perhatian di seluruh negara. Kedua-dua buah negara ini merupakan kuasa besar ekonomi dunia dan sudah pasti di kesempatan ini negara luar tidak ketinggalan juga ingin berlumba-lumba untuk menggunakan peluang ini bagi meningkatkan ekonomi di negara mereka. Justeru itu, kita perlu akui bahawa keadaan ini tetap akan memberi kesan yang buruk kepada negara ini. Namun pihak kerajaan perlu lebih bijak dalam menangani masalah ini supaya negara Malaysia mampu untuk bersaing dengan negara yang berkuasa besar yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here