Buy Muslim First (BMF) adalah kempen mengutamakan pembelian produk keluaran Muslim dari kedai Muslim dan bukannya kempen memboikot produk bukan Muslim. Dalam kes kempen boikot kita akan meminta orang berhenti membeli produk yang diboikot. Mereka yang membeli produk yang diboikot akan dimalukan, diherdik dan diberi pandangan yang mencurigakan.

Secara logiknya, mana mungkin kita akan melancarkan kempen boikot kerana kempen seperti ini yang akan mendatangkan banyak kesan negatif kepada umat Islam sendiri. Kita perlu mengakui umat Islam belum mampu mengeluarkan semua produk kegunaan harian, maka kita masih perlu membeli produk keluaran bukan Islam.

Pada masa yang sama, kita perlu sedar ramai orang Melayu dan Islam yang bekerja di kilang serta syarikat orang bukan Islam, maka bukankah kedudukan pekerjaan mereka akan terjejas teruk jika dilancarkan kempen seperti itu. Sudah semestinya kita tidak mahu mencetuskan perbalahan antara kaum hanya kerana kempen seperti itu kerana perpaduan antara kaum adalah tonggak kejayaan kita selama ini.

Sokong produk Melayu mengukuhkan ekonomi umat Islam

Sehubungan dengan itu, kempen ini amat penting untuk meningkatkan kedudukan ekonomi umat Islam negara ini. Kita perlu sedar kedudukan ekonomi dan pendapatan umat Islam negara ini jauh ketinggalan berbanding rakan-rakan kita daripada agama serta kaum lain.

Keadaan ini cukup menyedihkan dan persekitaran tidak sihat untuk masa depan negara. Maka matlamat utama kempen ini adalah untuk meningkatkan kedudukan sosioekonomi umat Islam di negara ini agar setaraf dengan orang lain tanpa meminggirkan kaum lain, apatah lagi memboikot produk bukan Muslim.

Realitinya kewajaran kempen seperti ini ialah membuka ruang lebih luas untuk mengetengahkan produk keluaran Muslim yang selama ini seolah-olah dipinggirkan atau boleh dikatakan umpama hidup segan, mati tak mahu. Kita perlu akui ramai dalam kalangan pengusaha Muslim yang gagal melaksanakan promosi dan pemasaran berkesan sehingga produk mereka langsung tidak dikenali. Ini ditambah pula dengan persaingan hebat daripada produk lain yang sering dilihat lebih baik dan berkualiti.

Jadi, dengan adanya kempen seperti ini, kita mampu menggarap segala peluang dan platform yang ada untuk mempromosi serta mengetengahkan semua produk keluaran Muslim ke pasaran agar dikenali oleh masyarakat termasuk pengguna bukan Muslim.

Justeru, terdapat beberapa kesan positif dengan pelancaran kempen BMF ini antaranya merapatkan jurang ekonomi antara kaum. Majoriti besar umat Islam di Malaysia adalah dari kalangan Bumiputera. Maka, kempen ini secara tidak langsung membantu orang-orang Bumiputera di mana golongan ini jauh ketinggalan di belakang orang Cina dan India dari aspek ekonominya. Oleh itu, melalui kempen inilah caranya untuk kita sebagai rakyat untuk membantu negara dalam merapatkan jurang ekonomi antara kaum.

Hakikatnya kempen ini yang dimulakan dan dipelopori badan bukan kerajaan (NGO) Islam Malaysia dan walaupun ia mendapat tentangan pihak tertentu, namun kempen ini terus mendapat sokongan ummah. Kempen ini juga dilihat berpotensi memecahkan oligopoli ekonomi iaitu konsep perniagaan yang dikuasai oleh kumpulan peniaga tertentu bagi mengaut keuntungan dengan penawaran barangan pada harga mahal.

Jom Sokong Produk Muslim

Kesan yang sama juga dapat dilihat terhadap konsep monopoli iaitu mengurangkan kebergantungan terhadap sesuatu produk keluaran individu tertentu dengan menggantikan barangan lain dalam memenuhi keperluan harian. Justeru, kesan daripada pemecahan tersebut, dominasi kawalan harga juga dapat dihapuskan sedikit demi sedikit dan meningkatkan persaingan sekaligus memberi kelebihan kepada pengguna.

Oleh itu, isu BMF ini perlu dilihat dengan perspektif yang betul di mana kempen ini tidak pernah dan tanpa niat untuk memboikot barangan bukan Islam. Ia hanyalah seruan agar umat Islam mengutamakan barangan buatan Islam seboleh mungkin. Sebab itu seruan yang digunakan adalah ‘’Buy Muslim made First’’, bukan ‘’Buy Muslim-made only’’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here