Wabak koronavirus atau Covid-19 semakin hari semakin membimbangkan lebih-lebih lagi apabila wabak tersebut telah mengorbankan lebih daripada 1,000 orang sekaligus memberi impak dalam sudut ekonomi dan sosial bukan sahaja bagi negara China tetapi meliputi seluruh dunia.

Hal ini kerana China menyumbangkan 18 peratus kepada ekonomi global dan memetik kata-kata ahli ekonomi ‘when China sneezes, the world catches a cold’maka kelembapan ekonomi dijangkakan akan dirasai secara global.

Akibat Covid-19 sektor pelancongan dan penerbangan paling terjejas

Penularan wabak Covid-19 ini jelas memberikan kesan kepada industri pelancongan termasuk perbelanjaan ke atas hotel, runcit, pengangkutan dan restoran. Larangan penerbangan ke negara China menjejaskan sektor penerbangan dan pembatalan tempahan hotel serta pengurangan jumlah pelancong mengakibatkan sektor ini terjejas.

Walau bagaimanapun, menurut bank negara, impak keseluruhan virus tersebut kepada ekonomi Malaysia bergantung kepada jangka masa dan penyebaran Covid-19 serta dasar-dasar yang dilakukan oleh kerajaan.

Dapat dilihat bahawa kemunculan Covid-19 ini menjadi igauan ngeri masyarakat kerana boleh dikatakan rata-rata rakyat menjadi panik ketika wabak ini menular sehingga pasaraya kehabisan hand sanitizer dan face mask. Namun dari sudut positif, ia merupakan satu ‘wake up call’ kepada masyarakat terutamanya yang menjadi golongan ‘anti vaksin’.

Golongan anti-vaksin seharusnya sedar bahawa vaksin amat penting bagi mengelakkan diri daripada jangkitan penyakit berjangkit

Masih lagi terdapat golongan yang menolak vaksin, menyalahgunakan antibiotik dan mengamalkan gaya hidup yang boleh menyebabkan penularan penyakit kerana sudah berpuas hati dengan usaha-usaha yang dilakukan selama ini untuk mengawal penyakit berjangkit. Covid-19 ini sedikit sebanyak membuka mata golongan anti vaksin bahawa pentingnya pengambilan vaksin agar dapat mengelakkan diri daripada terdedah kepada penyakit berjangkit.

Tidak dapat dinafikan penularan Covid-19 ini menjejaskan sektor pelancongan dan menjadikan ekonomi dunia menjadi sedikit perlahan. Namun, sektor penerbangan dan pelancongan negara perlu lebih kreatif serta inovatif dalam menarik pelancong domestik. Langkah untuk menarik pelancong tempatan sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesan kerugian akibat penularan Covid-19. Memandangkan penularan Covid-19 dalam negara Malaysia masih lagi berada pada tahap rendah dan terkawal, kerajaan patut menggalakkan rakyat Malaysia untuk melancong di dalam negara sekaligus dapat membantu meningkatkan ekonomi Malaysia.

Disebalik kesan buruk yang sedang dialami oleh negara-negara yang terjejas dengan penularan Covid-19 ini, terdapat juga kebaikan atau hikmah dan seharusnya ia dapat membuka mata masyarakat serta menjadi pengajaran kepada masyarakat dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here