Seiring dengan perkembangan teknologi pada masa kini, media sosial seperti facebook, twitter dan instagram terus berkembang menjadi platform utama masyarakat sebagai medium komunikasi di antara satu sama lain. Masyarakat di negara ini juga tidak terkecuali dalam mengalami fenomena kegilaan media sosial kerana berada di zaman serba canggih ini, sudah pasti tidak ada orang mahu ketinggalan dalam perkembangan ini.

Namun, apa yang lebih mengecewakan ialah apabila ada dalam kalangan pengguna media sosial yang cuba mengambil kesempatan di atas kecanggihan teknologi ini untuk kepentingan peribadi sehingga boleh mencetuskan pelbagai kontrovosi dan musibah. Sikap terlalu ghairah dalam memuat naik status, meninggalkan komen serta berkongsi maklumat mengenai isu sensitif yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada negara.

Penyalahgunaan media sosial di negara kita semakin kritikal

Sejak kebelakangan ini, kes menghina agama di media sosial dilihat semakin serius dan membimbangkan. Malaysia adalah sebuah negara yang dihuni oleh penduduk pelbagai kaum dan agama, maka setiap individu sepatutnya memahami bahawa keharmonian kaum adalah salah satu aspek terpenting bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.

Oleh itu, sebagai pengguna media sosial yang bijak, kita haruslah mengelakkkan daripada menggunakan saluran tersebut untuk membangkitkan perkara-perkara yang boleh dianggap menghina mana-mana agama. Kita perlu sedar bahawa isu ini bukanlah isu kecil yang boleh diambil ringan kerana hanya dengan meninggalkan komen sahaja sudah mampu menggugat keamanan negara.

Komen-komen negatif di media sosial yang menimbulkan provokasi akan mendatangkan kesan buruk kepada negara kita seperti perpecahan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Apakah kita sedar perbuatan tidak beradab seperti ini boleh mendatangkan pelbagai masalah yang besar dan kritikal. Antaranya adalah boleh menghakis keharmonian kaum serta budaya saling hormat menghormati antara kaum serta mencetuskan perbalahan dan pergaduhan. Kehidupan yang aman ini sudah dinikmati sekian lama, janganlah kerana adanya teknologi ini menjadikan kehidupan kita tidak tenteram.

Perpaduan kaum adalah aspek penting dalam memastikan keamanan negara terjaga

Di samping itu, sikap tidak bertanggujawab ini juga mampu mengancam keselamatan negara serta merosakkan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara luar. Perkara ini seharusnya disedari pengguna media sosial kerana sesuatu isu yang berlaku akan tersebar dengan pantas melalui media sosial. Ia jelas satu perkembangan yang tidak sihat dalam melahirkan masyarakat yang bersopan santun dan bertamadun.

Oleh itu, pengguna media sosial perlu bersikap matang dan profesional apabila menggunakan medium ini. Sebarang provokasi khususnya berkenaan sensitiviti agama perlu dielakkan kerana keamanan dan kemakmuran negara perlu terus dijaga sebaik mungkin. Kebebasan hak bersuara tidak seharusnya disalah gunakan sehingga menghancurkan nilai kemanusiaan.

Justeru itu, kepada semua pengguna media sosial, tidak kira agama atau bangsa dan kepercayaan, gunakanlah akal yang matang sebelum membuat sebarang komen dan muat naik status di media sosial. Lebih baik media sosial itu kita jadikan sebagai platform penulisan bersifat mendidik atau apa-apa yang berkaitan dengan keperluan masyarakat. Penulisan seperti ini lebih bermanfaat dan berguna untuk kesejahteraan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here