Perang perdagangan atau lebih dikenali sebagai trade war merujuk kepada dua atau lebih negara yang menaikkan atau mewujudkan tarif atau halangan perdagangan antara satu sama lain sebagai tindak balas untuk halangan dagang lain. Sebagai contoh Amerika Syarikat cuba untuk merendahkan kadar tukaran asing USD terhadap China. Selain itu, Amerika juga mengenakan tarif besi dan aluminium terhadap Kanada, Mexico dan juga Eropah. Pada masa yang sama, Amerika juga mengenakan import tarif terhadap China di mana industri yang membuat barangan mereka di China akan dikenakan tarif ini. Ini akan menaikkan harga barang dan akibat daripada kenaikan harga barang akan menyebabkan pengguna mengurangkan perbelanjaan mereka.

Perang dagangan beri kesan terhadap bursa saham Malaysia

Perang perdagangan memberi kesan kepada negara antaranya risiko terhadap prospek pertumbuhan akan meningkat sekiranya keadaan pasaran kewangan merosot, sekaligus yang akan mendorong pergerakan mata wang dan juga penurunan harga aset. Ini akan berlaku sekiranya tindakan perdagangan antara AS dan China berpanjangan atau jika tindakan ini melangkaui sektor perdagangan, contohnya apabila ia melibatkan langkah-langkah berasaskan mata wang. Ketidakpastian yang berpanjangan mengenai dasar perdagangan boleh mengakibatkan aliran keluar modal dari negara-negara akan terjejas dengan teruk sekiranya tindakan perdagangan ini dilaksanakan. Walaupun kemungkinan tercetusnya perang perdagangan dan mata wang adalah agak kecil, ia boleh menimbulkan senario yang tidak baik kepada ekonomi global.

Jumlah eksport semakin menurun susulan ancaman tarif akibat perang dagangan

Gangguan perdagangan memberikan kesan negatif bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi yang terlibat secara langsung bahkan terhadap ekonomi yang berada dalam rantaian bekalan. Rantaian nilai global yang merangkumi aktiviti pengeluaran barangan daripada peringkat permulaan sehinggalah peringkat pengilangan akhir yang dilakukan di negara yang berbeza, kini telah menjadi lebih bersepadu berbanding dahulu. Di Malaysia, rantaian ini termasuk pengeluaran bahagian dan komponen untuk jenama antarabangsa seperti Apple, Samsung, Intel, BMW dan Airbus. Walaupun pengeluaran banyak barang dagangan nyata bertambah baik dari segi skala dan kadar pengeluaran, rantaian nilai global juga meningkatkan risiko kenaikan perlindungan perdagangan bagi ekonomi yang terlibat dalam ekosistem pengeluaran global.

Malaysia juga tidak akan melancarkan perang terhadap barangan dari Eropah kerana pada masa kini EU mengimport 7.5 tan metrik setahun minyak sawit dan tiga hingga empat tan metrik daripada negara kita hanya untuk bahan api. Kesan sekatan minyak sawit ke negara mereka akan membuatkan kita kehilangan pasaran dan menyebabkan lebih 650,000 peneroka dan pekebun kecil kurang pendapatan tetapi memberi impak terhadap persepsi mata dunia.

Dalam bidang perdagangan, Malaysia telah melaksanakan usaha-usaha dasar untuk mempelbagaikan produk dan pasaran bagi mengurangkan risiko pergantungan yang berlebihan terhadap sesuatu produk dan pasaran tertentu. Langkah ini telah mengurangkan risiko pasaran luaran terhadap pertumbuhan dan guna tenaga negara secara keseluruhan. Selain itu, terdapat ruang bagi Malaysia untuk meningkatkan daya tahan ekonomi melalui kepelbagaian yang lebih besar dalam rangkaian dan kecanggihan produk. Antara produk ini termasuk produk sektor elektronik dan komoditi serta produk industri kimia dan plastik yang semakin mendapat perhatian. Malaysia mempunyai pengalaman yang luas dan keupayaan produktif yang besar dalam industri-industri ini.

Pembaharuan yang segera juga perlu bagi memastikan permintaan dalam negeri di Malaysia kekal berdaya tahan. Ini termasuk melaksanakan dasar-dasar untuk meningkatkan produktiviti pekerja melalui inisiatif yang mempertingkat kemahiran serta latihan semula agar mereka terus relevan dalam dunia yang semakin kompetitif dan bersifat global.

Pertikaian perdagangan yang boleh mengganggu aktiviti perdagangan global berisiko untuk menjadikan kadar pertumbuhan lebih rendah. Pada masa ini, risiko terhadap prospek pertumbuhan global dan ekonomi Malaysia masih lagi rendah. Walau bagaimanapun, kesannya akan menjadi lebih buruk jika ketidakpastian mengenai dasar perdagangan berpanjangan dan keadaan kewangan global menjadi lebih teruk.

Tindakan perdagangan ini bukan sahaja akan menjejaskan negara-negara yang terlibat secara langsung bahkan kesannya akan menular ke seluruh dunia melalui rantaian bekalan global, aktiviti pelaburan dan saluran kewangan. Pertikaian perdagangan perlu diselesaikan melalui dialog dan rundingan bersama demi mencapai kemakmuran ekonomi melalui perdagangan yang terbuka lagi adil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here