Hari Kebahagiaan Sedunia telah dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2013 dan disambut pada 20 Mac setiap tahun. Indeks kebahagiaan ini adalah inisiatif The New Economics Foundation (NEF) yang membuat penilaian tahunan ke atas lebih 150 buah negara bagi menentukan negara mana yang ‘paling bahagia’.

Hari Kebahagiaan Sedunia disambut 20 Mac setiap tahun

Indeks Kebahagiaan Dunia menjadi dimensi pengukur asas untuk memahami persepsi rakyat sesebuah negara. Hal ini kerana, melalui indeks ini, ianya dapat melihat dan menilai tahap kepuasan rakyat dalam mengharungi kehidupan seharian. Indeks Kebahagiaan Dunia ini diukur dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNKK) negara, kesejahteraan, pendapatan, kebebasan, kepercayaan, kesihatan, sokongan sosial, tahap rasuah dan kemurahan hati.

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh World Happiness Report 2019, Malaysia telah disenaraikan di kedudukan yang ke-80 daripada 156 buah negara. Laporan ini menunjukkan bahawa Malaysia jatuh 45 anak tangga kerana pada tahun 2018, Malaysia menduduki di tempat ke-35.

Jika diimbas kembali kedudukan pada tahun-tahun sebelumnya, pada tahun 2015, Malaysia berada di tempat ke-61 seterusnya pada tahun 2016 kedudukan telah berubah ke tangga 47. Kedudukan berubah semakin baik pada tahun 2017 iaitu di tangga ke-42 dan semakin baik pada 2018 iaitu di tangga ke-35. Justeru itu, boleh dikatakan bahawa Malaysia telah mencatatkan prestasi paling buruk tahun ini.

Malaysia berada di kedudukan ke-80 dalam Indeks Kebahagiaan Dunia 2019 berbanding tempat 35 pada tahun 2018

Penurunan secara drastik ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sedang mengalami tekanan seterusnya laporan ini jelas memberi signal bahawa perhatian harus diberikan kepada kesejahteraan dan keperluan rakyat.

Selepas memenangi PRU, kerajaan telah menjanjikan pelbagai kebaikan dan penambahbaikan daripada kerajaan terdahulu melalui manifestonya. Ini mengakibatkan rakyat tertunggu-tunggu sehingga kini dan sesetengahnya merasakan diri mereka ditipu dengan janji-janji manis tersebut.

Selain itu juga, senario politik yang tidak seimbang di mana dapat dilihat bahawa kejadian salah menyalahkan kerajaan terdahulu tanpa memperbaiki keadaan semasa juga menjadi pencetus kepada kemerosotan indeks ini. Tambahan lagi, akibat daripada peralihan kuasa, keadaan ekonomi juga menjadi lemah dan nilai mata wang yang mencatatkan penyusutan juga sememangnya memberikan kesan terhadap kepercayaan rakyat kepada kemampuan pentadbiran kerajaan kini. Senario-senario sebegini sekaligus mengundang kekecewaan rakyat terhadap kerajaan.

Oleh itu, kerajaan tidak boleh memandang enteng dengan hasil kajian ini kerana kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat sememangnya memberikan kesan langsung kepada kerajaan. Jika rakyat tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan masa kini, tidak mustahil rakyat akan mengundi untuk menukar semula kerajaan ketika pilihan raya akan datang demi menjadikan negara mengikut acuan mereka dan menjadi lebih bahagia.

Kerajaan perlu melihat kemelut yang dirasakan oleh rakyat, kesusahan, kebimbangan serta tekanan hidup seharian melalui kaca mata rakyat bagi memahami situasi yang dihadapi oleh rakyat terutamanya dalam mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup. Rakyat akan lebih berpuas hati dengan kehidupan mereka sekiranya kerajaan melaksanakan polisi-polisi yang lebih efektif untuk menjaga kebajikan rakyat. Hal ini sekaligus dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan seterusnya membuatkan rakyat lebih gembira dan produktif.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here