Industri perikanan negara kini menghadapi cabaran kekurangan golongan muda dalam industri tersebut sehingga menyebabkan pemilik bot lebih gemar menggaji awak-awak warga asing bagi membantu mereka. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya sedang merencana pelbagai pendekatan dalam usaha memodenkan industri perikanan bagi menarik lebih ramai golongan muda melibatkan diri dalam industri berkenaan. Cabaran masa kini adalah awak-awak kita kebanyakannya warga asing dan ini adalah masalah besar yang sering kita hadapi, justeru kementerian akan melihat perkara ini secara serius supaya anak-anak muda boleh ceburi bidang perikanan ini.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan sektor perikanan kurang mendapat sambutan di kalangan anak muda sekaligus ia boleh menyebabkan pendapatan negara dari sektor ini terjejas pada masa akan datang. Antara faktor-faktornya adalah seperti faktor risiko dan hasil yang tidak memuaskan juga menjadi faktor utama industri perikanan semakin dipandang sepi oleh anak muda. Risiko yang perlu dihadapi oleh nelayan adalah sangat tinggi seperti cuaca yang tidak menentu yang boleh menjejaskan nyawa dan pendapatan harian mereka. Faktor ini jelas ditolak oleh anak muda kerana mereka lebih cenderung memilih menceburkan diri dalam bidang tidak berisiko tinggi yang ditawarkan di bandar.

Risiko yang perlu dihadapi oleh nelayan adalah sangat tinggi seperti cuaca yang tidak menentu yang boleh menjejaskan nyawa dan pendapatan harian mereka punca anak muda menolak untuk menjadi nelayan

Selain itu, faktor yang menyebabkan sektor ini tidak mendapat sambutan adalah kerana ia tidak menghasilkan pendapatan tetap kepada anak muda. Ia sekaligus menjadi punca mereka menolak untuk menceburi bidang ini walaupun sektor ini telah terbukti menjadi sektor terpenting dalam industri di Malaysia.

Faktor teknologi juga adalah salah satu faktor ketara mengapa sektor ini kurang mendapat sambutan pada masa kini jika dibandingkan dengan negara lain. Negara kita kekurangan teknologi di dalam industri ini yang menyebabkan anak muda tidak berminat untuk menceburi bidang ini. Terdapat pelbagai cabaran dalam menjadikan sektor ini ke tahap yang lebih baik. Namun, ia perlu seiring dengan peredaran zaman terutamanya dari segi kecanggihan teknologi.

Oleh itu, sekiranya masalah ini tidak dapat ditangani dengan segera adalah tidak mustahil lama-kelamaan industri perikanan negara akan merosot dan lambat laun digantikan dengan ikan import. Selain itu, keadaan ini akan menyebabkan jumlah import ikan dari luar negara meningkat menjadikan harga ikan dalam negara menjadi semakin mahal dan dan membebankan rakyat.

Kekurangan teknologi canggih dalam bidang perikanan salah satu punca yang menyebabkan anak muda tidak mahu terlibat dalam bidang ini

Di samping itu, sektor perikanan turut menerima kesan kekurangan tenaga kerja tempatan akibat keengganan golongan anak muda untuk bekerja dalam bidang perikanan sehingga mereka terpaksa menggunakan khidmat pekerja asing. Pengusaha nelayan terpaksa menanggung kerugian akibat disaman menggunakan pekerja asing. Malah tidak dinafikan terdapat nelayan yang terpaksa sorok-sorok menggunakan khidmat pekerja asing yang tidak mempunyai permit. Akhirnya mereka ditangkap, kemudian dikenakan saman, bot disita dan lebih teruk ialah lesen digantung.

Justeru itu, bagi membangunkan industri ini, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersama-sama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) perlu merangka pelan strategik secara holistik merangkumi pembangunan sektor perikanan dan sosio-ekonomi nelayan. Industri perikanan perlu dijenamakan semula untuk menarik minat anak muda agar mereka terlibat secara langsung dalam perniagaan melibatkan industri perikanan kerana potensinya yang luas. Selain itu, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memberi gaji atau subsidi tambahan kepada pekerjaan nelayan supaya ia dapat menarik minat golongan muda untuk menjadi nelayan. Bantuan kerajaan dalam memberikan modal atau alat tangkapan kepada nelayan juga adalah salah satu cara lain yang mungkin boleh meningkatkan hasil tangkapan ikan di Malaysia. Oleh itu adalah wajar sekiranya kerajaan dapat menangani isu ini dengan segera supaya industri perikanan negara tidak terjejas pada masa hadapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here