Kecanggihan infrastruktur seperti sistem pengangkutan awam merupakan salah satu kayu pengukur untuk kemajuan sesebuah negara. Oleh itu, demi menuju status negara maju, Malaysia juga terus mengorak langkah dengan melaksanakan pelbagai transformasi terhadap pengangkutan awam terutamanya perkhidmatan rel.Rangkaian rel terus menjadi tunjang sistem pengangkutan awam dan mencatatkan penggunaan tertinggi di antara semua mod pengangkutan awam bandar. Bermula dengan KTM Komuter sebagai perkhidmatan rel paling lama sejak tahun 1995, kemudian dibangunkan prasarana Transit Aliran Ringan (LRT) yang menjadi antara pengangkutan popular dan Transit Aliran Massa (MRT) yang mula beroperasi pada Disember 2016. Kini, pengangkutan rel merupakan satu daripada mod pengangkutan yang terpenting dalam negara sehingga tercetusnya projek berimpak tinggi seperti ECRL dan HSR.

KTM Komuter perkhidmatan rel paling lama sejak tahun 1995

Perkembangan industri rel di Malaysia ini mampu memberi manfaat kepada sektor pelancongan mahupun pelaburan. Ahli perniagaan dan pelabur juga akan lebih tertarik melabur ke Malaysia jika negara ini memiliki sistem pengangkutan awam yang cekap dan bersepadu. Jaringan sistem pengangkutan rel ini dapat menghubungkan setiap destinasi di Malaysia dan akan memudahkan pergerakan sesiapa sahaja tidak kira rakyat Malaysia mahupun warga asing yang terdiri daripada pelancong, pelabur mahupun ahli perniagaan.

Bukan itu sahaja, kemajuan industri rel yang cekap dan berkualiti akan dapat menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam sekaligus dapat membendung masalah kesesakan jalan raya yang semakin kronik terutamanya di bandar-bandar besar. Malahan, sistem pengangkutan awam yang cekap dapat membantu masyarakat menjimatkan perbelanjaan dalam usaha menangani kos sara hidup yang meningkat.

Sistem pengangkutan awam yang cekap dapat membantu masyarakat menjimat perbelanjaan

Sebagai contohnya, pelaksanaan projek seperti ECRL yang ingin dibangunkan di Pantai Timur mampu memberi impak sosioekonomi kepada kawasan luar bandar. Hal ini kerana, kewujudan ECRL ini memberi lebih banyak faedah kepada rakyat di sepanjang jajaran rel berkenaan dari segi pembangunan, peluang perniagaan mahupun pekerjaan.

Manakala projek HSR yang menghubungkan Johor Bahru ke Singapura menjadi projek masa depan serantau dan dalam pada masa yang sama, projek ini mampu merancakkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Singapura. Malahan, masalah kesesakan di Tambak Johor juga dapat diatasi sekiranya projek HSR ini diteruskan.

Justeru itu, industri rel memberikan impak yang besar kepada pembangunan negara. Melalui sistem rel yang sistematik dan canggih ia berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi seterusnya meningkatkan pendapatan negara. Pembinaan projek mega seperti ECRL dan HSR bukanlah satu pembaziran. Namun sebaliknya, ia merupakan satu pelaburan jangka panjang yang bukan sahaja memberi keuntungan kepada negara malahan memberi keselesaan kepada rakyat serta menyediakan peluang pelaburan kepada pelabur untuk mengembangkan perniagaan mereka sekaligus dapat memacu ekonomi negara ke arah negara maju.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here