Hari ini, kita sudah memasuki 4 Ramadhan, akan tetapi suhu politik tidak juga turun seperti sedamainya suasana di bulan puasa. Perebutan kuasa dan fitnah politik tetap menjadi ‘makanan harian’ para pemimpin negara masa kini. Ini termasuklah fitnah siber para laskar papan kekunci berbayar mereka. Demi kekuasaan dan kerakusan, mereka sanggup tidak menghormati kedatangan bulan mulia ini. Rasulullah SAW bersabda:

“Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkahan, AIlah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu, kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini.” (HR At-Thabrani).

Lihat hadis di atas, bagaimana Rasulullah SAW bersungguh-sungguh mengajak umat Baginda menghayati kedatangan bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkah. Mengapa ada di antara kalian semua masih juga tidak menghormati kemuliaan bulan ini?! Tidak lama, hanya sebulan saja. Tidak bolehkan dalam sebulan ini kita bersama-sama menghayati kesucian bulan puasa dengan melebihkan amal ibadah? Sepatutnya tugas sebagai pemimpin adalah untuk mengajak rakyatnya ke arah kebaikan, bukan menggalakkan lagi rakyat membuat keburukan demi kepentingan diri sendiri.

Ramadhan ialah asas pembinaan iman, Islam dan ihsan bertapak kukuh dalam jiwa setiap Muslim demi menjunjung titah perintah Tuhan Yang Maha Agung, meraih keampunan Ilahi tiada terhingga dan juga membebaskan diri daripada ancaman api neraka. Pengendalian diri itu pada hakikatnya cetusan keinsafan terpancar dari sudut jiwa terhadap pentingnya ketundukan yang penuh kudus kepada Allah SWT pada setiap detik dan ketika. Firman Allah SWT dalam hadis qudsi:

“Setiap amalan kebajikan anak Adam akan diberikan balasan dengan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali puasa. Puasa adalah untuk-Ku dan Akulah sahaja yang akan memberikan ganjaran kepadanya.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here