Kerajaan mengambil keputusan untuk mewartakan premis awam sebagai zon larangan merokok berkuatkuasa pada 1 Januari 2019. Semasa kerajaan mengumumkan pewartaaan larangan merokok, pelbagai reaksi daripada netizen yang boleh kita baca di laman media sosial, Facebook. Kebanyakan netizen menyambut baik saranan yang diputuskan oleh pihak kerajaan, malah ada juga yang memberi cadangan agar kerajaan mengubah jarak kawasan dibolehkan merokok dari premis makanan dinaikkan daripada tiga meter kepada lima meter.

Pengguna Facebook, Saiful Anwar Osman menyifatkan perintah larangan yang dilaksanakan oleh kerajaan berupaya membantunya mengurangkan tabiat tidak sihat itu. Namun, masih lagi terdapat segelintir netizen terutamanya dari kalangan ‘perokok tegar’ yang berani memberi ancaman bahawa premis-premis makanan terutamanya kedai mamak akan ‘kosong’ tanpa kehadiran mereka.

Rakyat masih lagi ingkar dengan arahan daripada kerajaan

Walaupun masih terlalu awal untuk menyatakan samada dasar ini berjaya atau sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’, sebagaimana undang-undang yang menetapkan ‘denda mandatori RM500 jika buang sampah di tempat awam’, tetapi masih lagi tiada perubahan sikap di kalangan masyarakat. Adakah kerajaan tidak bertegas atau masyarakat yang kurang prihatin dalam memberikan kerjasama dengan membantu kerajaan menjayakan undang-undang yang telah ditetapkan?

Secara jujurnya, minda masyarakat Malaysia masih lagi berada pada tahap mentaliti kelas ketiga. Walaupun kerajaan telah mengeluarkan kenyataan bahawa perokok dan pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan ini akan diambil tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324) tetapi masih lagi terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab memandang ringan isu ini. Sehingga 2 Januari 2019, sebanyak 2,500 notis amaran telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. Kempen larangan merokok juga boleh dikatakan seperti kempen sepanjang zaman yang dilakukan secara berterusan di media sosial dan media tradisional namun masih lagi tiada sebarang perubahan daripada masyarakat.

Kerajaan perlu menetapkan satu tindakan yang akan dikuatkuasakan secara tegas dan berterusan. Misalnya pada tiga bulan pertama bagi tahun 2019, kerajaan akan mengambil ‘pendekatan menasihat’ dengan memberikan amaran secara lisan kepada semua pemilik premis awam dan perokok sebelum tindakan denda atau undang-undang dikenakan. Pemilik premis perniagaan perlu berkerjasama dengan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan iaitu zon merokok hanya dibenarkan tiga meter daripada meja makan.

Kerajaan mungkin boleh memasang kamera pengesan haba berdefinisi tinggi bagi menangkap dan mendenda perokok. Kamera ini bukan sahaja mengesan asap rokok biasa, bahkan asap rokok elektronik juga tidak dibenarkan. Kamera pengesan haba canggih ini dapat mengesan apabila seseorang memegang rokok menyala di kawasan zon larangan merokok. Kerajaan juga perlu bertegas dengan menetapkan perokok dibenarkan merokok di dalam kereta persendirian, tetapi tidak boleh menurunkan cermin kereta ketika berbuat demikian. Sedikit kejam bukan? Tetapi itu adalah saranan yang lebih baik daripada membiarkan perokok pasif menghidu asap rokok.

Bayi antara perokok pasif yang terkesan dengan budaya tidak sihat oleh perokok tegar

Kepada golongan perokok tegar, hargailah usaha Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan jumlah perokok serta menggalakkan perokok untuk berhenti merokok. Walaupun kerajaan telah memperbanyakkan zon larangan merokok, namun persoalannya mampukah perokok mematuhi peraturan ini? Walaupun anda sebagai perokok dan masih mahu meneruskan tabiat merokok, silakan!! Tetapi hormatilah kaum wanita, ibu mengandung dan bayi kami yang berhak untuk meneruskan kehidupan dengan memiliki paru-paru yang sihat.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here