Bertudung? Adakah ia syariat atau kehendak? Apa yang pasti ia adalah tuntutan wajib bagi semua kaum wanita yang beragama Islam dengan tujuan untuk memelihara maruah dan melindungi para wanita daripada gangguan bahaya agar mereka lebih dihormati. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah An – Nur, ayat 31:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya”.

“Wanita Muslim dan Tudung” mencetuskan kontroversi di kalangan netizen baru-baru ini

Namun, akhir-akhir ini isu pemakaian tudung di kalangan wanita Islam seakan menjadi perkara sensitif bagi sesetengah pihak. Semuanya bermula apabila berlangsungnya program pelancaran buku dan forum “Wanita Muslim dan Tudung” di mana program tersebut berkisar perkongsian pengalaman wanita bertudung sebelum menemui dunia baharu tanpa tudung yang mengundang kemarahan di kalangan netizen di Petaling Jaya pada 13 April lalu.

Akibat daripada itu, peguam, aktivis dan juga Pengarah Eksekutif Kumpulan Peguam Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya Abdullah melahirkan pendapat peribadinya mengenai isu ini. Menurut beliau, cara pemakaian merupakan hak peribadi seseorang dan individu mahupun kumpulan lain tiada hak untuk memaksanya, ini termasuk soal mengenakan hijab.

Ujarnya lagi, hal ini tiada paksaan dalam Islam berkaitan tuntutan berkenaan dan beliau tidak bersetuju dengan prinsip tersebut. Malah, beliau juga berpendapat seseorang yang mengikut atau menghadiri forum seperti itu tidak akan terus luntur imannya. Hal ini kerana seseorang wanita itu bebas memikir dan memilih sama ada dia mahu berhijab atau tidak.

Pemakaian hijab adalah tuntutan yang diwajibkan ke atas wanita beragama Islam

Akibat dari kontroversi program tersebut, pihak penganjur menerima impak yang hebat apabila rata-rata netizen di negara ini mengecam penganjuran forum tersebut. Hal ini kerana mereka merasakan forum tersebut seakan sebuah gerakan yang cuba untuk merosakkan kesucian agama Islam dengan mengajak wanita-wanita Islam agar menanggal hijab mereka dan meninggalkan suruhan agama. Bukan itu sahaja, penganjur program juga menerima padah apabila forum mereka akan disiasat secara adil dan sebaiknya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa memaklumkan bahawa kerajaan memandang serius perkara tersebut. Tambahnya lagi, pihak menteri telah berhubung dengan JAIS berkenaan perkara tersebut dan pihak JAIS telah mengambil maklum mengenai perkara ini dan dalam tindakan mereka. Ujarnya, pihak menteri yakin dan percaya pihak JAIS akan menjalankan siasatan terhadap perkara ini dengan adil dan sebaiknya.

Sementara itu, satu tinjauan telah dilakukan ke atas beberapa platform media sosial di dalam negara. Hasil daripada carian tersebut menunjukkan sebilangan besar netizen mengutuk sekeras-kerasnya penganjuran program tersebut. Seorang pengguna Facebook, Nur Qasih dalam entrinya menyebut menutup aurat itu wajib bagi setiap wanita yang beragama Islam dan ini termasuklah bertudung sepertimana yang dinyatakan di dalam al-Quran. Lain pula halnya dengan seorang pengguna Twitter, LeeSlimShady dalam ciapannya menulis program tersebut tidak harus disiasat oleh pihak JAIS. Ini kerana ia hak peribadi seseorang itu untuk berkongsi dan beliau berpendapat Malaysia baharu pada hari ini adalah tempat kebebasan untuk berwacana dan perkara ini harus diiktiraf.

Dalam isu ini, tiada paksaan bagi seseorang untuk mengenakan hijab, ia sebenarnya tergantung kepada niat atau jalan yang dipilih oleh individu tersebut dalam mengenakan pemakaian mengikut kesesuaian peribadi mereka. Namun, sebagai seorang wanita yang dilahirkan dan dididik sebagai seorang Islam, kita seharusnya tahu batas-batas dalam memperagakan pakaian yang tidak melanggar syarak dan ini termasuklah dalam mengenakan hijab. Hal ini kerana itu yang dituntut oleh agama dan sebagai seorang yang beragama Islam kita wajib menunaikannya. Pemakaian mencerminkan keperibadian seseorang dan itu hakikatnya. Jadi, sebagai wanita muslim, penjagaan aurat dan akhlak harus bergerak seiringan agar tidak dilabelkan sebagai muslimah “jadi-jadian”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here