Sentimen agama dan perkauman seringkali dijadikan modal sesetengah pihak kerana dua sentimen ini adalah isu yang paling dekat dengan jiwa masyarakat dan ianya seperti ‘minyak’ yang paling berkesan untuk menyemarakkan api kemarahan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Belum reda dengan kontroversi pengenalan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Malaysia termasuk sekolah vernakular yang telah menimbulkan ketegangan dalam hubungan antara kaum, terbaru, satu lagi isu ‘dihidangkan’ kepada rakyat Malaysia apabila tular di media sosial di mana segelintir ibu bapa tidak senang melihat perhiasan perayaan Tahun Baru Cina di sebuah sekolah.

Adakah golongan ini tidak faham atau sengaja menimbulkan ketegangan kaum? Lupakah mereka yang antara kekuatan Malaysia pada hari ini adalah kerana mempunyai rakyat yang berbilang kaum, agama dan budaya? Malah, setiap kali perayaan utama di Malaysia, rakyat Malaysia menyambutnya secara harmoni.

Sekolah merupakan platform menyatukan Rakyat berbilang kaum

Tidak seharusnya isu ini dipolitikkan kerana sekolah bukan pentas sandiwara politik. Sekolah merupakan tempat yang dapat mendidik dan platform untuk menyatukan rakyat Malaysia. Anak-anak ke sekolah untuk belajar dan merayakan perbezaan agar dapat menyemarakkan perpaduan. Namun, terdapat juga golongan yang jahil menjadikan isu ini dan institusi pendidikan sebagai senjata untuk menyerang sesetengah kaum.

Apa yang perlu dibimbangkan kerana Islam tidak pernah menafikan hak agama yang lain. Malah, Mufti Wilayah juga berpandangan bahawa sambutan Tahun Baru Cina merupakan satu perayaan adat yang tidak ada kaitan permasalahan akidah. Perlu untuk kita fahami bahawa Tahun Baru Cina ini bukanlah satu amalan keagamaan, sebaliknya adalah satu perayaan meraikan dan menyambut kedatangan tahun baharu.

Seharusnya isu yang menyentuh agama dan perkauman tidak dipolitikkan agar tidak menyemarakkan hasutan api kebencian apatah lagi jika rasa prasangka dan kebencian ini dengan sengaja ingin diwariskan kepada generasi akan datang. Selama berpuluh-puluh tahun kita bersama, kita sentiasa gembira mengharmonikan pelbagai perayaan yang ada di Malaysia, mengapa hari ini dengan mudah api kebencian ini dimarakkan?

Tahun Baru Cina disambut untuk meraikan kedatangan tahun baru mengikut kalendar lunar

Kepelbagaian budaya ini adalah kekuatan kita, dan kekuatan ini hanya akan terus kuat sekiranya kita bersatu dan tidak mudah melatah dengan api kebencian sebegini. Institusi pendidikan pula sepatutnya mekanisme menyatukan rakyat Malaysia dan tidak seharusnya institusi ini dicemari dengan unsur dan campur tangan pihak berkepentingan yang berniat memporakperandakan keharmonian yang telah kita capai selama ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here