Kemajmukan masyarakat Malaysia adalah aset penting kepada pembinaan identiti negara yang harus dipertahankan oleh segenap lapisan masyarakat. Pembangunan dan kemajuan negara yang telah dikecapi sehingga kini adalah hasil daripada tolak ansur masyarakat majmuk dari segi sosial, ekonomi dan politik.

Namun, lama-kelamaan keharmonian negara sedikit sebanyak semakin terhakis mengikut waktu. Ketika ini, seolah-olah taufan dan badai telah menghempas perasaan tenang serta damai dalam keharmonian kita. Banyak perkara yang melibatkan isu perkauman telah berlaku ketika ini yang seolah-olah cuba merampas semangat perpaduan yang telah dibina sejak sekian lama.

MALAYSIA dikenali serata dunia sebagai sebuah negara kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama

Sesetengah pihak dengan sengaja mengembar-gemburkan isu yang melibatkan perkauman berniat untuk meretakkan teras perpaduan nasional yang kukuh dibina selama ini. Isu perkauman sering dijadikan propaganda politik demi survival sesetengah parti politik dan sebenarnya amat berbahaya dalam konteks Malaysia sebagai negara berbilang kaum.

Hal ini kerana, golongan berkepentingan ini sengaja mahu merosakkan sistem demokrasi dan perpaduan nasional dengan memainkan sentimen kaum. Sudah pastinya sentimen perkauman menjadi agenda utama untuk menimbulkan rasa tidak senang antara kaum kerana Malaysia terdiri daripada golongan Melayu, Cina dan India yang merupakan kaum tersebar di negara ini.

Perpecahan yang berlaku disebabkan oleh sentimen perkauman ini boleh membawa kehancuran kepada negara seterusnya menjejaskan masa depan negara. Hal ini kerana, tanpa masyarakat yang bersatu padu, negara akan lebih rapuh dan mudah mendapat ancaman yang boleh mengganggu gugat kedaulatan negara.

Justeru beberapa langkah perlu diambil dan dikekalkan dalam usaha memastikan rakyat di Malaysia ini terus bersatu padu. Antaranya memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu khususnya melalui sistem pendidikan sama ada di peringkat sekolah termasuk sekolah vernakular hingga ke peringkat pendidikan tinggi.

Semangat perpaduan perlu dipupuk sejak kecil lagi

Selain itu, kepelbagaian agama, budaya dan adat resam sesuatu kaum haruslah dihormati dan dipelihara. Setiap individu berhak mengamalkan adat resam kaum masing-masing dengan harmoni.

Sewajarnya sikap saling menghormati dan memahami budaya sesama kaum ini perlu dipertahankan demi kesinambungan perpaduan negara. Amalan ini bukan sahaja menggambarkan persefahaman malah meningkatkan lagi kemesraan sesama kaum

Oleh itu, masyarakat perlu bersatu padu untuk mengelakkan hubungan harmoni di antara pelbagai bangsa ini diancam oleh polarisasi perkauman dan politik berlebihan. Walaupun ada ideologi politik dan pandangan yang berbeza, kita perlu kekal menghormati dan menghargai satu sama lain. Justeru, semua pihak harus memelihara perpaduan supaya keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati selama ini berkekalan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here