Pada Mei tahun lalu, peminjam PTPTN yang sepatutnya membuat bayaran balik telah ‘bebas’ untuk ke luar negara. Sehingga kini isu pembayaran balik pinjaman hutang PTPTN masih menemui jalan buntu ekoran daripada PTPTN masih menanggung beban hutang yang semakin bertambah. Kerajaan PH sentiasa komited dalam mencari mekanisme terbaik bagi menyelesaikan isu ini dengan cara paling sesuai dan tidak membebankan rakyat.

Baru-baru ini, PTPTN sekali lagi mengumumkan bahawa PTPTN mungkin akan memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membuat pembayaran semula. Selain itu, terdapat beberapa cadangan lain bagi mengutip baki pinjaman tersebut seperti menyekat pembaharuan pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan.

Walau bagaimanapun, ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati peminjam dan rata-rata peminjam mula meninggalkan komen-komen bantahan dan negatif di media sosial. Tidak kurang juga yang mula meluahkan rasa marah kerana pemansuhan PTPTN dibatalkan dan kini pelbagai sekatan bakal dilaksanakan. Namun, terdapat segelintir peminjam yang berpendapat bahawa sekatan untuk ke luar negara adalah memadai. Namun, cadangan yang selebihnya adalah tidak sesuai memandangkan ia adalah salah satu perkara yang diperlukan untuk kelangsungan hidup.

Ptptn cadang sekat pembaharuan lesen,cukai jalan,cukai perniagaan dan pasport

PTPTN adalah pinjaman pendidikan yang terbaik di Malaysia dengan kadar faedah yang paling rendah. Maka, tidak hairanlah sekiranya PTPTN sentiasa menjadi pilihan pelajar untuk membuat pinjaman bagi meneruskan pengajian. Namun, sikap segelintir peminjam yang sering culas dalam membuat pembayaran balik pinjaman telah memberikan kesan kepada organisasi PTPTN.

Sikap segelintir peminjam yang tidak mahu membayar balik pinjaman telah menyebabkan PTPTN menanggung beban hutang yang semakin bertambah kerana berlakunya pertambahan peminjam tetapi jumlah pembayaran semula yang diperolehi adalah rendah. Sekiranya ia berterusan, kemungkinan untuk PTPTN membatalkan perkhidmatan memberi pinjaman pendidikan adalah tinggi kerana hilang kemampuan kewangan untuk memberikan pinjaman.

Peminjam seharusnya lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam membuat pembayaran balik pinjaman. Segala peraturan yang akan ditetapkan oleh kerajaan dan pihak PTPTN adalah demi kepentingan semua khususnya bagi generasi akan datang. Kita tidak mahu masih ada yang mundur dan ketinggalan dalam pelajaran hanya kerana tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran.

Masih ada yang merungut kadar yang ditetapkan adalah tinggi

Sehubungan itu, pihak PTPTN perlu lebih tegas mengenai pendirian dalam menetapkan tindakan pembayaran balik pinjaman. Sekatan ke luar negara bagi mereka yang gagal membuat pembayaran balik bagi mereka yang berkemampuan adalah wajar untuk diteruskan kerana sebelum ini kaedah ini dilihat berkesan.

Selain itu, PTPTN juga boleh mewajibkan pemotongan gaji untuk pembayaran balik pinjaman namun pemotongan perlulah diselaraskan seperti 2 ke 3 peratus supaya ia tidak terlalu membebankan peminjam. Walau bagaimanapun, peminjam yang berkemampuan tinggi boleh membuat pembayaran lebih mengikut permintaan masing-masing.

Hal ini kerana setiap daripada mereka mempunyai komitmen yang tertentu serta masih bergelut dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi. Sekurang-kurangnya, tidak akan ada peminjam yang dapat lari daripada tanggungjawab pembayaran balik pinjaman kerana pemotongan wajib telah dilaksanakan.

Justeru itu, pihak PTPTN perlu menetapkan tindakan bagi mereka yang gagal membuat pembayaran dengan segera supaya tidak ada sebarang kekeliruan. Lebih cepat ia diselesaikan lebih cepat PTPTN akan dapat mengutip semula baki pinjaman yang sudah tertangguh sebelum ini. Oleh itu, janganlah kita menyalahgunakan kemudahan yang telah disediakan kerajaan demi kesinambungan generasi akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here