Isu insiden pencemaran kimia sedang hangat dibicarakan pada ketika ini apabila insiden yang berlaku di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang telah mendapat liputan luas di dalam negara ini. Setakat hari ini hampir 111 buah sekolah telah ditutup dan seramai 506 mangsa telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail ekoran pencemaran toksik akibat pembuangan bahan kimia.

Kes pencemaran toksik yang sudah masuk hari ketujuh ini telah menyaksikan jumlah kes baharu meningkat apabila pelajar dan murid di beberapa lagi sekolah sekitar kawasan itu mendapatkan rawatan di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih kerana mengalami sesak nafas, loya dan muntah.

Detik cemas ketika seorang mangsa tidak sedarkan diri apabila terhidu bau bahan kimia

Namun begitu, dalam kejadian ini siapa yang harus kita persalahkan! Pihak berkuasa atau pengusaha kilang itu sendiri? Secara adilnya kedua-dua pihak ini perlu bertanggungjawab terhadap isu pencemaran kimia ini.

Dalam hal ini, pihak berkuasa sepatutnya memainkan peranan mereka dengan agresif untuk memantau segala aktiviti-aktiviti seperti pembuangan sisa toksik ini secara terperinci. Jika ada mana-mana pengusaha kilang yang jelas melakukan kesalahan, mereka perlu dikenakan tindakan tegas sebagai contoh membeku atau membatalkan terus lesen mereka supaya mereka tidak boleh meneruskan operasi kilang tersebut sehingga siasatan lanjut dibuat.

Sebagai pengusaha kilang juga mereka perlu lebih peka dan bersedia berhadapan dengan kesan-kesan yang akan berlaku apabila menguruskan sisa toksik serta tidak mengambil sikap sambil lewa tentang isu ini. Pembuangan sisa toksik ke sungai merupakan satu tindakan yang akan mengakibatkan berlakunya pencemaran dan sekaligus memberikan implikasi yang buruk terhadap alam sekitar dan juga hidupan lain di kawasan itu.

Oleh yang demikian, sudah pasti insiden pencemaran bahan kimia ini akan memberikan kesan yang amat buruk kepada aktiviti harian manusia di sekitar kawasan tersebut. Manusia akan mula berasa mual, pening kepala dan juga sesak nafas akibat daripada terhidu bahan-bahan kimia yang dilepaskan tanpa rasa tanggungjawab. Segala aktiviti mereka akan menjadi terbatas oleh kerana perlu mengambil sikap berjaga-jaga supaya tidak mengalami kesan-kesan sebegitu.

Semestinya rakyat Malaysia sentiasa menaruh harapan yang tinggi terhadap pihak kerajaan dalam membuat keputusan yang tepat menjamin keselamatan rakyat di Pasir Gudang. Rata-rata rakyat Malaysia telah mendesak agar pihak kerajaan mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang kerana keadaan di kawasan tersebut yang dilihat semakin hari berada pada tahap yang sangat kritikal.

Namun, kerajaan telah mengambil keputusan bahawa mereka tidak akan mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang oleh kerana mereka percaya bahawa keadaan pada masa kini masih dalam keadaan terkawal. Pada hakikatnya pengisytiharan darurat adalah perlu dibuat pihak kerajaan supaya penduduk di sana boleh keluar daripada kawasan tersebut dan berpindah ke satu tempat yang lebih selamat sementara kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan di Sungai Kim-Kim.

kerja-kerja pembersihan sungai kim-kim masih lagi dilakukan

Jika pada tahun 2013 daerah Muar dan Ledang pernah diisytiharkan darurat oleh kerana keadaan jerebu pada masa itu berada pada tahap yang tidak sihat, maka kerajaan hari ini juga perlu membuat keputusan yang sama. Pihak kerajaan perlu bersikap lebih rasional dalam membuat sesuatu keputusan terutama sekali yang melibatkan nyawa manusia. Justeru itu, diharapkan kerajaan mampu menangani masalah yang berlaku di Sungai Kim-Kim sekarang ini dengan baik agar rakyat mampu hidup selesa seperti sedia kala.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here