Bila berbicara tentang ekonomi negara di Malaysia, peranan Muslim untuk menjadi pelopor di bidang ekonomi-ekonomi utama masih lagi dalam peratusan yang kecil. Walaupun sudah terdapat berberapa cambahan ekonomi terutamanya dalam industri pemakanan, namun ia belum cukup untuk bersaing dengan ‘gergasi’ sebenar dunia perniagaan. Akhirnya, orang Islam balik ke takuk lama dan menyokong ekonomi yang dibangunkan orang bukan Islam.

Di mana silap dan salahnya? Salah dari sokongan atau kurangnya dana bantuan untuk membangunkan ekonomi Islam? Daripada al-Zubair bin Abi Usaid, daripada ayahnya, sesungguhnya seorang lelaki telah datang bertemu dengan Rasulullah dan berkata “Demi ayah dan ibuku, sesungguhnya aku telah menjumpai satu tempat yang sangat sesuai untuk didirikan pasar. Apakah engkau tidak mahu melihatnya? Sabda Rasulullah SAW “Bahkan aku ingin melihatnya. Lalu Rasulullah pun pergi bersama lelaki itu ke tempat pasar tersebut. Apabila Rasulullah melihatnya Rasulullah berasa takjub dengan tempat itu, lalu dihenjakkan kakinya dan berkata “Inilah sebaik-baik tempat pasar perniagaan, maka janganlah kamu kurangkannya (robohkannya) dan janganlah pula dikenakan cukai.” (Mu’jam al-Tabrani: 586)

Wahai para pemimpin Islam, ambillah iktibar dari kisah Rasulullah SAW dalam membangunkan ekonomi Islam di Madinah bagi tujuan untuk memecahkan ekonomi yang dimonopoli oleh kaum Yahudi dari Bani Qainuqa’. Lihatlah di sekeliling anda, bagaimana perniagaan umat Islam yang kebanyakannya ditindas walaupun barang yang diniagakan itu tidak sebesar mana, apatah lagi dengan keadaan sekarang apabila para peniaga terpaksa berhadapan dengan masalah ekonomi susulan serangan covid-19.

Bagaimana ekonomi Islam mahu berkembang pesat dan membangun? Ya, memang benar jika ada yang mengatakan kita sudah mempunyai Malakat Mall sebagai pusat membeli belah Muslim di negara ini. Akan tetapi, ia tertumpu di suatu kawasan sahaja, bagaimana dengan usahawan-usahawan Muslim di serata Malaysia? Maka, suatu anjakan paradigma harus dilakukan demi mensejahterakan ekonomi umat Islam di negara ini.

Malaysia ini majoritinya adalah umat Islam, tetapi masih menyokong perniagaan terbesar yang dimonopoli oleh bukan Islam. Bukanlah untuk menutup ‘periuk nasi’ mereka, tetapi apa lah salahnya jika pemimpin-pemimpin Muslim di negara ini memberi sedikit bantuan, bukan hanya dari segi wang ringgit, bahkan sokongan moral, strategi pemasaran buat para usahawan Muslim ini membangun seiring dengan ekonomi yang dikuasai oleh orang bukan Islam selama ini. Bantulah agama kita terlebih dahulu sebelum memikirkan kemaslahatan agama bangsa lain. Itu lebih utama dan afdhal. Jadilah pemimpin berwibawa yang menyelesaikan masalah pembangunan ekonomi Islam. Pemimpin yang mengutamakan kebajikan agamanya amat dicintai Allah SWT dan mendapat kedudukan yang istimewa di syurga. Sabda Rasulullah SAW:

“Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, lantas tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka.” (HR al-Bukhari)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here