Bukan senang untuk menjadi pemimpin yang di sayangi, tetapi amat mudah untuk menjadi pemimpin yang dibenci. Tapi, siapa yang mahu dibenci kan? Tidak ada satu orang di muka bumi ini yang suka dibenci, apalagi setelah menggalas tanggungjawab penting dalam kepimpinan. Serba serbi perlu dijaga, jika tersalah langkah, banyak mata yang memerhati, perbuatan diingat sampai mati.

Sungguh berat tugas pemimpin, mereka perlu menggalas tanggungjawab dan amanah dengan penuh intergriti. Akan tetapi, dalam masa yang sama mereka perlu menjaga hati rakyat jelata agar mereka kekal disayangi. Daripada Auf bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik baik pemimpin adalah mereka yang kamu menyukainya dan dia menyayangi kamu. Dia mendoakan kamu dan kamu mendoakan buat mereka. Sedangkan seburuk-buruk pemimpin adalah mereka yang kamu marah kepadanya dan dia turut marah kepada kamu. Kamu melaknatnya dan dia melaknat kamu.” (Sahih Muslim: 1855)

Melalui hadis ini, Rasulullah menjelaskan kepada kita bahawa salah satu pentanda bahawa seseorang pemimpin itu disayangi rakyat adalah rakyat mendoakan kebaikan buat mereka. Inilah sebaik-baik pemimpin. Manakala seburuk-buruk pemimpin pula adalah bukan sahaja rakyat membencinya bahkan mendoakan laknat ke atas mereka. Ditambah lagi dengan sikap buruk pemimpin tersebut yang turut mencerca dan melaknat rakyatnya sendiri. Dia memburukkan rakyatnya sendiri. Inilah seburuk-buruk pemimpin.

Nampak bukan? Dalam kepimpinan perlu adanya titik keseimbangan. Kita boleh saja berbuat tindakan mengikut nafsu serakah kerana kita mempunyai segala-galanya, harta, pangkat dan kuasa. Tetapi, adakah kita akan disayangi dan dihormati? Pemimpin itu adalah ikutan rakyat sepertimana bapa itu ikutan kepada anak-anak sepertimana kata-kata yang sering kita dengari “ayah borek anak rintik”. Malah, Imam al-Ghazali mengungkapkan dalam kitabnya yang mahsyur iaitu Ihya Ulumiddin dengan kata-kata “rosaknya rakyat itu disebabkan oleh kerana rosaknya pemimpin.”

Justeru, apabila kita menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin, besederhanalah dalam memimpin, tidak terlalu lembut dan tidak juga terlampau keras. Jadikanlah kepimpinan Rasulullah SAW sebagai panduan walaupun secara harfiahnya kita tidak akan mampu menandingi keperibadian baginda.

Firman Allah SWT:

“Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (QS Al- A’raf: 157)

Dalam Islam, pemimpin wajib menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dalam mereka memimpin. Ini perlu dalam memastikan tidak akan berlakunya perpecahan di kalangan umat manusia. Pemimpin itu adalah cerminan bagi rakyatnya. Andai kata suatu hari kepimpinan kita sudah ditolak secara total oleh rakyat, maka berundurlah secara sukarela. Dengan cara itu, kita akan mendapat lebih banyak penghormatan daripada cacian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here