Apabila negara sedang sibuk dengan Total Lockdown, ada sesetengah pihak yang tidak pernah berhenti mencari kesalahan pihak Kerajaan. Tanda pagar seperti #kerajaangagal menjadi permainan mereka di laman sosial sebagai tanda protes. Malah para pemimpin politik yang tidak sealiran pun turut sama menggunakan tanda pagar tersebut dan menyebarkannya ke seluruh media sosial mereka agar rakyat dapat dihasut dan turut bersama-sama mereka menentang Kerajaan. Atitud seperti apa ini?

Ini bukan yang kita mahukan! Mencari kesalahan atau lebih tepat lagi disebut sebagai tajassus bukanlah perkara yang diajarkan dalam agama Islam sebaliknya kita disarankan untuk sentiasa memperbaiki diri masing-masing. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.” (QS Al – Hujurat: 12)

Sepatutnya tindakan yang harus dilakukan oleh semua pemimpin politik pada hari ini adalah menjadi pemimpin yang prihatin rakyat dan bukannya sibuk mahu memburukkan keadaan dengan berpolemik menyalahkan pihak Kerajaan. Kerajaan sudah melakukan sedaya upaya untuk membendung penularan wabak Covid-19, tapi apakan daya Allah SWT berkehendakkan sebaliknya. Ini semua ujian daripada Allah SWT untuk kita saling beringat dan sedar bahawa kita semua sebagai umat Islam hendaklah sentiasa bersatu dalam menghadapi musibah. Sabda Rasulullah SAW:

“Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.” (HR Imam Ahmad)

Artikel ini bukanlah bertujuan untuk melagakan mana-mana pihak, tetapi ambil lah contoh yang cuba ditunjukkan oleh sesetengah dermawan dan Ahli Parlimen yang betul-betul cakna dengan kehidupan rakyat kawasan mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Peruntukan kecemasan disediakan, food bank, bantuan alatan belajar dan sebagainya diberikan kerana tidak mahu masyarakat di bawah seliaan mereka hidup dalam kesusahan.

Wahai para pemimpin politik sekelian, kami tidak perlukan perdebatan, hasutan dan sikap adu domba anda yang sentiasa tidak berpuas hati dengan Kerajaan, kerana manusia tiada yang sempurna dalam segala segi. Kita tidak perlu menjadi yang terbaik, cukuplah hanya perlu bersikap prihatin, memperbaiki diri sendiri dan bukannya sering mencari salah orang lain sedangkan ‘kain’ sendiri koyak rabak. Sabda Rasulullah SAW:

“Waspadalah dengan buruk sangka kerana buruk sangka adalah sejelek-jeleknya perkataan dusta.” (HR Muslim)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here