Mempunyai gelaran ‘DR’ pada pangkal nama mungkin satu kebanggaan pada setiap individu. Mahu tidaknya gelaran doktor perubatan seolah-olah satu anjakan status dalam masyarakat. Hendak pula jika lulusan doktor-doktor perubatan ini daripada universiti luar negara, maka status mereka antara yang paling dipandang ‘mulia’ di kalangan masyarakat negara ini.

Atas dasar itulah, maka wujudnya ejen-ejen yang mengendalikan ‘jalan pintas’ untuk pelajar ini mendapatkan Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) atau Non Objection Certificate (NOC) daripada Kementerian Pendidikan bagi melayakkan pelajar menyambung pengajian perubatan di luar negara.

Sasaran ejen-ejen ini adalah pelajar yang tidak memenuhi syarat minimum Kementerian Pendidikan yang mahu calon memperoleh B bagi subjek Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia serta Biologi.

Contoh sijil SSLN palsu yang dijual pada pelajar perubatan

Kebanyakan pelajar yang mengambil ‘jalan pintas’ ini menjadikan Rusia sebagai destinasi pilihan mereka. Lima buah universiti di Rusia diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia. Melalui pengamatan di carian Google, ada juga syarikat yang menyediakan perkhidmatan bagi membantu pelajar-pelajar ini menyambung pengajian di luar negara.

Apa yang lebih mengejutkan, mereka juga boleh menggunakan keputusan percubaan SPM bagi permohonan menyambung pengajian ke universiti luar negara. Melalui konteks pemerhatian ini, mungkin pilihan untuk menyambung pengajian ke luar negara lebih mudah berbanding dalam negara. Maka, atas faktor itu jugalah kebanyakan pelajar memilih untuk menyambung pengajian perubatan di universiti luar negara.

Salah satu syarikat yang menyediakan peluang menyambung pengajian ke luar negara

Perkara pemalsuan sijil SSLN ini juga telah mendapat maklum balas daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Namun Menteri Kesihatan itu mendakwa pihaknya tidak mampu menghalang sesiapa sahaja yang mahu ke luar negara untuk menjadi doktor.

Begitu juga dengan Menteri Pendidikan yang memaklumkan tiada prosedur di kementeriannya yang menentukan sesiapa yang mahu menjadi doktor. Melalui konteks jawapan kedua-dua menteri ini pasti timbul persoalan siapa yang harus dipertanggungjawabkan dan apakah kesannya terhadap industri kesihatan pada masa hadapan nanti.

Pasti kredibiliti doktor Malaysia akan diragui, begitu juga dengan industri perubatan negara yang akan terus diragui, kerana kebanyakan rakyat yang mendapatkan rawatan kesihatan di hospital kerajaan atau swasta pasti mengharapkan mereka dirawat oleh doktor yang benar-benar mempunyai kelayakan.

Wajar juga jika kredibiliti doktor lulusan luar negara ini diragui, kerana masih ada di kalangan mereka yang telah bergelar pegawai perubatan masih belum dapat mengenal pasti kumpulan darah pesakit.

Isu ini tidak wajar dipandang remeh. Melalui kenyataan kedua-dua menteri itu, doktor-doktor perubatan yang menggunakan sijil SSLN palsu tetap boleh menjalankan profesion mereka seperti biasa. Maka seperti tiada tindakan tegas yang bakal dikenakan ke atas ejen dan pelajar yang mengambil sijil palsu itu.

Jika perkara ini dibiarkan secara berterusan, mungkin industri perubatan negara akan dipandang rendah oleh pihak luar. Malah kredibiliti doktor perubatan dan Kementerian Kesihatan juga akan dipertikaikan.

Apa yang boleh disimpulkan, mudah sungguh untuk bergelar menteri atau doktor. Hanya perlukan wang untuk mendapatkan sijil palsu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here