Sidang Parlimen merupakan satu-satunya medan di mana suara rakyat diangkat dan bincangkan. Ketika inilah wakil-wakil eksekutif perlu menjawab dan memuaskan hati wakil-wakil Parlimen yang ada. Malangnya, bagaimana mungkin medan ini boleh dimanfaatkan sekiranya kehadiran Ahli Parlimen, baik dari parti pemerintah atau parti pembangkang tidak memberangsangkan terutamanya sejak akhir-akhir ini?

Isu Dewan Rakyat kosong ini bukan perkara baharu dan pernah ditegur oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang tidak berpuas hati dengan kehadiran menteri dan timbalan menteri. Kegagalan ahli Parlimen menghadiri persidangan Dewan Rakyat ini bukan sahaja mengganggu perjalanan mesyuarat malah menjejaskan proses kedaulatan undang-undang.

Tun Dr Mahathir tidak berpuas hati dengan kehadiran menteri ketika sidang parlimen

Sepatutnya sekurang-kurangnya 26 ahli Parlimen perlu berada di dalam dewan setiap kali berlangsung sesi perbahasan atau mengikut aturan mesyuarat Dewan Rakyat. Kehadiran menteri dan timbalan menteri pula amat dituntut kerana mereka perlu menjawab setiap persoalan yang akan dibangkitkan oleh ahli Parlimen dalam sesi perbahasan.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat menteri yang tidak dapat menghadirkan diri kerana atas urusan mesyuarat di peringkat antarabangsa namun segelintirnya mengambil kesempatan dan sengaja ‘ponteng’ tanpa sebab yang kukuh. Isu Dewan Rakyat kosong ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa isu ini tidak dipandang serius oleh kerajaan Pakatan Harapan sekaligus mengecewakan hati rakyat yang telah menyokong mereka.

Sidang Parlimen merupakan satu-satunya wadah suara rakyat diangkat dan bincangkan

Sejauh manakah peranan sebagai dewan perwakilan rakyat ini dijalankan sekiranya penglibatan ahli-ahlinya tidak seperti yang diharapkan? Sepatutnya inilah medan di mana mereka mampu berhujah membawa segala suara dan harapan rakyat tanpa rasa gentar. Namun jika mereka yang dipilih untuk memperjuangkan nasib rakyat pula memilih untuk tidak hadir, mengapa mereka merayu untuk mandat ini pada awalnya?

Pastinya sikap ini mengundang kekecewaan sekaligus mengikis kepercayaan masyarakat terhadap kepimpinan yang dipilih. Wakil rakyat perlu responsif kepada keperluan rakyat dan hendaklah membuat rakyat berasa mereka diwakili. Namun, jika wakil rakyat telah menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab dengan ponteng ketika sidang parlimen, secara tidak langsung ia menunjukkan bahawa wakil rakyat tersebut tidak melaksanakan amanah dengan baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here