Beberapa bulan yang lalu, isu pencemaran sungai Kim Kim baru sahaja selesai. Namun kini, kita sekali lagi dikejutkan dengan isu pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang sehingga menyebabkan 475 institusi pendidikan dalam kawalan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di daerah Pasir Gudang diarah tutup serta merta.

Berdasarkan kes pencemaran Sungai Kim Kim, pihak berwajib telah menyatakan bahawa pencemaran sisa toksik telah dibersihkan sepenuhnya. Walau bagaimanapun, bagi kes kali ini Jabatan Alam Sekitar telah mengesahkan bahawa pencemaran udara ini berlaku akibat daripada sisa kimia yang terdahulu dari Sungai Kim Kim. Ini menunjukkan bahawa sisa toksik yang terdahulu tidak diuruskan dengan dengan baik sehingga mengakibatkan perkara sama berulang.

Semua sudah maklum bahawa pencemaran udara bukanlah sesuatu perkara yang boleh diambil mudah. Sama dengan pencemaran udara yang melanda Pasir Gudang, ia akan memberi kesan kepada kesihatan penduduk setempat dan kawasan persekitarannya dan boleh menyebabkan muntah-muntah, pengsan serta mampu membawa maut.

Pencegahan pencemaran udara perlu ditangani secara serius

Sementara itu, individu yang terdedah dengan pencemaran tersebut juga berpotensi untuk mengalami masalah kesihatan yang berpanjangan akibat daripada pencemaran tersebut. Hidupan lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan juga antara yang akan terjejas akibat daripada pencemaran udara sekaligus memberi impak kepada sumber makanan di kawasan setempat.

Oleh itu, melihat kepada situasi ini kerajaan negeri dan kerajaan pusat tidak boleh lagi berlembut dengan pihak yang melakukan pembuangan sisa kilang secara terbuka. Tindakan tegas perlu diambil dengan segera dengan mengenakan hukuman berat sewajarnya kerana ia telah mengancam kesihatan penduduk setempat.

Selain itu, satu arahan penutupan kilang-kilang kimia yang sedang beroperasi diarahkan menghentikan operasi buat sementara waktu sehingga keadaan kembali stabil dan selamat. Perkara ini perlu ditangani dengan lebih teliti kerana ia mampu mengancam nyawa penduduk.

Pembuangan sisa toksik memberi kesan buruk kepada kesihatan penduduk

Sementara itu, Kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah penting dalam meneruskan pemantauan secara berterusan sehingga udara di kawasan terbabit benar-benar bersih dan bebas dari pencemaran. Pemantauan selepas insiden ini juga adalah wajar diteruskan bagi mengelakkan perkara sama berulang kembali pada masa akan datang.

Sehubungan itu, insiden yang berlaku ini seharusnya diambil iktibar oleh semua pihak kerana ia berlaku dalam jangka masa yang sangat dekat di tempat yang sama. Perkara ini perlu diberikan perhatian sepenuhnya bagi memastikan ia tidak akan berlaku di kawasan lain pada masa hadapan sehingga mampu meragut nyawa. Selain itu, pemantauan oleh pihak berwajib kepada kilang-kilang kimia ini juga sangat penting bagi memastikan mereka melaksanakan pembuangan sisa toksik dengan cara yang sepatutnya.

Justeru itu, kerajaan perlu menggerakkan usaha pencegahan pencemaran udara yang dilihat semakin merebak. Pencemaran udara yang berpunca daripada bahan kimia dan kebocoran gas adalah antara pencemaran serius yang perlu ditangani segera supaya semua pihak yang terlibat akan lebih bertanggungjawab dalam memastikan tiada sebarang pencemaran dilakukan dengan sengaja. Kawalan dalam menangani isu ini adalah sangat penting bagi menjamin tahap kesihatan masyarakat kita sekaligus ia dapat mengurangkan krisis di kawasan setempat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here