Dahulu, kemana sahaja kita pergi Jalur Gemilang tetap di hati. Pergilah kemana sahaja, baik dalam mahupun luar negara, pasti orang memandang tinggi dengan kemegahannya. Akan tetapi, keadaan hari ini cukup berbeza. Jalur Gemilang tidak lagi dihormati! Malah, ada sesetengah pihak yang sengaja cuba mencetuskan provokasi dengan menggunakan Jalur Gemilang sebagai medium untuk melahirkan rasa tidak puas hati mereka tidak kira terhadap negara atau kepimpinan tertinggi Malaysia.

Seperti kejadian yang baru sahaja berlaku pada minggu ini apabila seorang taikun perniagaan terkenal dari Malaysia dengan sengaja memuat naik ‘posting’ yang menunjukkan Jalur Gemilang yang diubah jalurnya daripada putih merah kepada hitam merah. Alasannya, ingin menunjukkan tanda protes kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung isu pelaksanaan subjek Khat kepada semua sekolah.

Kandungan ‘posting’ yang mengundang kontroversi baru-baru ini

Jika dilihat, ini bukan kali pertama insiden sedemikian berlaku. Pada tahun 2016, negara digemparkan dengan isu seluar dalam rekaan Jalur Gemilang yang dipakai oleh warga Australia semasa perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang. Hal ini sekaligus telah menimbulkan amarah kepada masyarakat Malaysia kerana tindakan biadab mereka yang digambarkan sebagai menghina kedaulatan negara. Ironinya, perbuatan mengubah lambang atau bendera sesebuah negara sememangnya satu tindakan bodoh yang tidak boleh diajar.

Selain itu, perbuatan ini juga boleh ditafsirkan sebagai signal ‘perperangan’ kepada negara kerana dengan sengaja telah mencetuskan provokasi bagi mencetuskan perbalahan di antara masyarakat negara ini yang hidup dalam keadaan damai dan penuh rukun. Apabila tercetusnya insiden ini, ia sedikit sebanyak telah menganggugugat keamanan negara.

Dalam perkara ini, tindakan tegas harus diambil oleh kerajaan dalam membendung kegiatan provokasi yang dilaksanakan oleh sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab. Walaupun terdapat dua undang-undang yang melindungi kedaulatan Jalur Gemilang iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, namun ia masih belum cukup untuk memberi pengajaran kepada mereka betapa daulatnya bendera kepada sesebuah negara.

Antara tindakan yang dirasakan sesuai dikenakan terhadap mana-mana pihak yang memperlekehkan lambang atau bendera sesebuah negara adalah dengan cara penggubalan undang-undang khusus oleh kerajaan. Sebagai contoh, hukuman berat serta sebatan kepada si pelaku di antara satu hingga tiga tahun penjara serta denda maksimum sebanyak RM100,000.

Jalur Gemilang merupakan identiti dan jati diri negara Malaysia dan rakyatnya

Sekiranya si pelaku merupakan warganegara asal bagi negara yang dihina itu, maka kerajaan harus mewajibkan si pelaku untuk hadir ke kelas pemantapan jati diri tanpa gagal. Sekiranya gagal, hukuman terhadap si pelaku akan dinaikkan lebih tinggi. Bagi pesalah bukan warganegara, hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda maksimum RM500,000 mungkin boleh dikenakan. Ini bagi memberi pengajaran kepada semua manusia bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menghina lambang sesebuah negara walaupun hanya sekadar gurauan.

Oleh itu, rakyat Malaysia dinasihatkan agar menjaga tingkah laku dan adab mereka agar tidak terjebak dengan mana-mana tindakan tatasusila. Jangan disebabkan anda tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara yang diusulkan oleh kerajaan, maka anda menzahirkannya dalam bentuk sedemikian rupa. Perbuatan memperlekehkan lambang dan bendera sesebuah negara adalah suatu perbuatan yang keji dan jelek serta tidak boleh diterima akal dan norma-norma kemanusian.

Bendera merupakan identiti dan lambang jati diri sesebuah negara, begitu juga dengan rakyatnya. Apabila ia diperlekeh dan dihina, ia seumpama ‘mengejutkan harimau yang sedang tidur’. “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan perbuatan buruk padahnya”. Ingat! Jangan sesekali biadap tak tentu hala, kelak bahana menimpa diri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here