Pada tahun 2018, negara China telah mengharamkan mengimport sisa buangan di negara tersebut dan sejak daripada itu, Malaysia telah menjadi destinasi utama bagi melupuskan sisa buangan dari seluruh dunia.

Banyak kilang telah dibuka di Malaysia untuk mengendalikan sisa buangan ini tetapi kebanyakannya beroperasi secara haram tanpa sebarang lesen. Kilang-kilang ini dilaporkan menggunakan alatan berteknologi rendah serta prosedur pelupusan yang berbahaya.

Malah kegiatan penyeludupan masuk sisa plastik tercemar ke negara ini masih berleluasa di pelabuhan utama negara walaupun kerajaan telah mengharamkan kemasukan sisa buangan tersebut sejak tahun lalu. Sebanyak 60 kontena mengandungi 3,000 metrik sampah plastik telah diseludup ke negara ini di Pelabuhan Klang.

Penyeludupan masuk sisa plastik tercemar masih berleluasa di Malaysia

Masalah kegiatan penyeludupan masuk secara haram sisa buangan ini perlu di ambil perhatian serius agar Malaysia tidak terus menjadi ‘destinasi tong sampah’ oleh negara luar. Kerajaan perlu mengkaji semula prosedur dan memperketatkan prosedur kemasukan kargo ke pelabuhan bagi mengelakkan kargo yang mempunyai muatan sisa buangan berlabuh secara haram di pelabuhan.

Selain itu, kerajaan perlu tegas dalam membanteras kewujudan lambakan kilang haram yang memproses sisa plastik tempatan dan juga sisa yang diimport dari luar negara. Hukuman yang tegas perlu dikenakan kepada pihak yang bertanggungjawab dengan menarik semula lesen kilang ataupun isytihar muflis kepada pemilik kilang tersebut.

Selama 25 tahun China telah menjadi destinasi nombor satu dunia dengan 45% sisa buangan dari seluruh dunia akan dihantar ke negara tembok besar itu namun, semuanya berubah apabila China memutuskan tidak akan lagi mengimport sisa plastik utama kerana mengambil berat masalah alam sekitar. Perkembangan ini seterusnya menjadikan Malaysia sebagai pengimport terbesar sisa plastik di dunia.

Namun ketegasan pihak kerajaan menjadi kunci utama jika tidak mahu melihat negara ini menjadi tempat pembuangan sisa plastik di dunia. Sekiranya syarikat yang mengimport sisa buangan mampu menipu borang deklarasi import sampah seharusnya kerajaan perlu mengkaji dan meneliti semula undang-undang sedia ada agar tidak berlaku lagi kejadian seperti ini. Kerajaan perlu memberi penekanan terhadap prosedur operasi standard (SOP) di agensi perkapalan dan operator pelabuhan agar meneliti kandungan kargo yang keluar masuk di pelabuhan negara.

Kerajaan perlu bertegas dan komited dengan pendirian bahawa Malaysia bukan lokasi pembuangan sampah dunia

Justeru itu, kerajaan perlu bertegas dan komited dengan pendirian bahawa Malaysia bukan lokasi pembuangan sampah dunia. Walaupun negara Malaysia agak kecil berbanding negara-negara maju yang lain tetapi Malaysia tidak seharusnya dibuli oleh negara maju. Malaysia perlu mengambil pendekatan yang drastik bagi memastikan kegiatan penyeludupan sisa plastik ini dapat dibanteras sepenuhnya agar tidak menjadikan Malaysia sebuah negara yang dilabel sebagai ‘tong sampah’ oleh negara-negara maju.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here