Pemimpin Melayu diingatkan supaya tidak menjadi ejen perpecahan kepada perpaduan serta persefahaman antara parti termasuk UMNO dan PAS. Tindakan sesetengah pemimpin politik yang sengaja mempermainkan isu – isu yang memecah – belahkan perpaduan umat Islam demi cita – cita politik masing – masing merupakan satu perkara yang malang kerana ia tidak membawa sebarang manfaat kepada perpaduan politik orang Melayu. Kalau kita berpecah, yang akan bergembira hanya musuh – musuh politik kita. Mereka memang menggunakan berbagai helah dan strategi agar Melayu berpecah dan orang Islam tidak bersatu.

Allah melarang umat Islam berpecah belah. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah dengan tali Allah ( ajaran dan panduan daripada Allah ) dan janganlah kamu berpecah – belah.” (Surah Ali Imran, ayat 103).

Rasullullah SAW juga memberi amaran kepada umat Islam supaya tidak berpecah belah sebagaimana sabda baginda dalam hadis yang bermaksud:

Janganlah kamu berselisih faham, kerana orang terdahulu telah binasa disebabkan berselisih faham ( HR Ahmad ).

Bagi kumpulan atau individu yang mempergunakan agama untuk memecah – belahkan masyarakat, maka mereka harus kembali merenung dan bertadabbur maksud ayat 159, surah al – An’am di mana perbuatan suka memecah belahkan atas nama agama bukan daripada ajaran Nabi Muhammad SAW, sebaliknya ia adalah atas dorongan hawa nafsu mereka semata – mata.

Allah berfirmanmaksudnya:

“Bahawasanya orang yang mencerai – beraikan agama mereka dengan perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu dan mereka menjadi berpuak – puak, tiadalah engkau ( wahai Muhammad ) terkait sedikit pun dalam perbuatan mereka. Sesungguhnya perkara mereka itu hanya terserah kepada Allah. Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka pada hari kiamat kelak apa yang mereka lakukan dan membalasnya ” (QS al-An’am:159).

Dalam konteks masyarakat Melayu yang merupakan kaum teras dan majoriti di negara ini, perpecahan sama ada atas nama politik atau agama akan memberi kesan yang cukup buruk kepada masa depan bangsa Melayu itu sendiri. Sejarah membuktikan perpecahan politik di istana Melaka kerana fitnah, tamak dan gila kuasa mengakibatkan hancurnya empayar Melayu Melaka. Perpecahan merugikan semua pihak. Musuh akan seronok apabila kita berpecah belah kerana ia akan memudahkan kerja mereka memusnahkan negara ini.

Jika kita lihat kepada senario politik hari ini, perpecahan yang berlaku di kalangan orang Melayu Islam disebabkan masing – masing tamakkan kuasa, berebut jawatan dan saling ingin menjatuhkan pemimpin lain demi kepentingan politik masing – masing. Umpamanya tindakan sesetengah pemimpin UMNO yang memberi kata dua kepada Bersatu supaya tidak bertanding di kerusi yang dimenangi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke – 14 (PRU14) adalah satu provokasi untuk memecah – belahkan persefahaman antara parti politik orang Melayu (UMNO, PAS dan BERSATU). Sedangkan pembahagian kerusi PRU 15 belum diputuskan oleh pucuk pimpinan parti komponen PN. Sepatutnya semua peringkat kepimpinan parti gabungan dalam PN mengambil pendirian, “ kita mesti sentiasa berpegang dengan pandangan bahawa biarlah perkara sebegini diselesaikan secara harmoni di meja rundingan ”. Jangan sesiapa pun menjadi ejen perpecahan. Soal kerusi perlu diserahkan kepada kepimpinan tertinggi pusat BERSATU, PAS dan UMNO untuk berbincang mengenai perkara berkenaan.

Jangan kerana soal pembahagian kerusi PRU 15, kita bermusuhan antara satu sama lain. Ada yang menjadi tamak untuk bertanding dan merebut jawatan. Ada yang bersikap ego dan merasakan parti mereka saja yang patut diberi keutamaan. Sikap mementingkan diri begini bukan sikap yang dikehendakki Islam. Memecah – belahkan perpaduan adalah kerja syaitan dan orang – orang munafik.

Cuma apa yang terjadi sekarang, masing – masing enggan mengaku kalah dan bertolak ansur. Saling tuding menuding jari antara satu sama lain sementara musuh – musuh Islam seperti DAP tentu sahaja tersenyum lebar melihat persengketaan yang kelihatan seperti tiada tepiannya ini. Musuh tentunya galak menyuburkan benih persengketaan dan menyalakan api permusuhan sesama kita umat melayu Islam.

Sekarang ini rakyat sedang susah. Mengapa perlu dibangkitkan soal kerusi ketika rakyat perlukan bantuan. Kita patut kuatkan kerjasama untuk menangani masalah rakyat. Bukannya sengaja mahu bawa kepada pecah belah.

Bagi memastikan kestabilan politik negara, orang Melayu kena bersatu hati dalam menghadapi PRU 15. Jika orang Melayu bersatu menghadapi musuh yang senangtiasa mencari ruang dan peluang untuk memecah – belahkan perpaduan Melayu, nanti kemenangan besar akan menanti bagi blok parti Melayu. Sementara itu, UMNO, PPBM dan PAS perlu kembali mencari titik persamaan sebelum pilihanraya umum ke – 15 ( PRU 15 ).

Ketiga – tiga parti Melayu itu perlu mengetepikan ego bagi memastikan kemenangan besar dalam pilihan raya akan datang. Sekiranya orang Melayu terus berpecah, negara tidak akan dapat mewujudkan kestabilan seperti pada zaman BN memerintah sebelum ini. Justeru, semua pihak harus memelihara perpaduan supaya keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati selama ini berkekalan.

Sebagai orang Islam, jika kita berselisih faham, berburuk sangka mahupun berasa curiga terhadap satu sama lain, kembalilah kepada Al – Quran dan Hadis Rasulullah SAW kerana di situlah kita akan menemui kedamaian dan petunjuk selain daripada berdoa dan memohon hidayah daripada Allah SWT. Apabila kita berpegang teguh kepada Islam dan ajarannya, maka kita akan dapati ukhuwah, perpaduan dan jalan penyatuan akan nampak lebih mudah serta jelas.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu ( yang bertelengkah ) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat ”. ( Surah Al Hujurat: ayat 10 ).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here