Hak Keistimewaan Bumiputera merupakan sebuah hak yang telah diwartakan di dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan Perkara 153 Fasal (2) iaitu penrizaban ke atas kaum Bumiputera iaitu kaum Melayu dan juga anak negeri antara Negeri Sabah dan Sarawak. Penrizaban tersebut merangkumi jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam, peruntukan biasiswa, penempatan di institusi pendidikan dan kemudahan khas lain di mana ia dilindungi serta ditentukan oleh kuasa Yang Di-Pertuan Agong (YDPA).

Namun, sejak kebelakangan ini Hak Keistimewaan Bumiputera dilihat sering diganggu gugat oleh pihak-pihak yang berkepentingan di arena politik. Tidak kira dari sudut pemilikan tanah hinggalah ke bantuan pendidikan, semuanya seakan-akan menjadi salah sekiranya ia melibatkan kaum Bumiputera. Pada mereka, tiada apa yang istimewa di atas nama Hak Bumiputera melainkan statusnya di atas sehelai kertas yang dirangka.

Justeru, mereka memohon agar kerajaan menyemak semula Perlembagaan tersebut demi untuk kesamarataan hak untuk semua kaum di negara ini. Antara contoh terdekat ialah isu kuota matrikulasi di antara kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera. Perkara ini menjadi isu hangat sehingga ada desakan agar kerajaan menutup semua kolej matrikulasi di seluruh Malaysia akibat kuota yang diberikan tidak adil kepada kaum bukan Bumiputera sedangkan Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperuntukkan lebih 4000 tempat buat golongan berkenaan.

Gesaan untuk memansuhkan kolej matrikulasi oleh GERAKAN merupakan salah satu cubaan menghapuskan Hak Keistimewaan Bumiputera

Jika dirujuk Pelembagaan Persekutuan, Perkara 159 (5) menjelaskan bahawa pindaan perlembagaan perlu mendapat sokongan dua pertiga setiap dewan dan perkenan Majlis Raja-Raja (MRR), membabitkan perkara seperti kedaulatan Raja, kedudukan istimewa Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Bahasa Kebangsaan dan agama Persekutuan. Maka, jelaslah di sini bahawa amat sukar untuk mengubah hak keistimewaan tersebut selagi ia tidak mendapat perkenan MRR.

Hak Keistimewaan Bumiputera bukanlah suatu perkara yang enteng dan mudah diperkotak-katikkan. Jadi, memelihara dan mempertahankannya merupakan satu kepentingan kepada perlembagaan negara ini. Antara kepentingannya adalah untuk mempertahankan sistem pemerintahan demokrasi negara ini dari menjadi pemerintahan sekularisme. Ini kerana jika pemerintahan Malaysia bertukar kepada sekular, nescaya segala bentuk hak yang berkaitan dengan Bumiputera akan dihapuskan serta-merta bersama kedaulatan Raja dan Perlembagaan Persekutuan akan digubal lalu dijadikan hak kesamarataan.

Sekiranya tiada usaha untuk memelihara dan mempertahankan Hak Keistimewaan Bumiputera dari kalangan pemimpin tertinggi Malaysia, percayalah! Bangsa Bumiputera akan menjadi bangsa yang paling hina di tanah air sendiri. Jika sebelum ini hak keistimewaan tersebut pernah dicabar oleh golongan berkenaan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 1969, tidak mustahil akan ada satu gerakan yang akan memulakan ‘jarum halus’ mereka untuk meraih sokongan hak kesamarataan bagi semua kaum di negara ini.

Institusi diraja merupakan benteng terakhir golongan Bumiputera untuk mempertahankan dan memelihara hak keistimewaan mereka

Selain itu, kesan dan implikasi lain yang boleh dilihat adalah dari segi fungsi institusi di raja yang tidak lagi digunapakai. Ini kerana Hak Keistimewaan Bumiputera dilindungi oleh kuasa YDPA dan tiada seorang pun mampu untuk mengubahnya seperti yang dinyatakan dalam Fasal (7). Namun, sekiranya pemerintahan telah berubah, semua fungsi ini tidak membawa sebarang makna untuk dituntut.

Ironinya, pihak kerajaan perlulah mempunyai pendirian yang tegas terhadap isu ini. Jangan disebabkan kuasa, hak keistimewaan yang selama ini dipegang menjadi galang gantinya. Ingat perjuangan para nenek moyang yang menuntut hak mereka supaya diutamakan. Ingat kembali pengorbanan mereka yang terpaksa menerima prinsip ‘jus soli’ melalui perjanjian kontrak sosial demi memberikan kesamarataan kepada golongan berkenaan. Jangan kejutkan ‘harimau’ yang sedang tidur, kelak merana badan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here