Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah diperkenalkan pada tahun 2002 bertujuan untuk disewakan kepada golongan sasaran iaitu yang berpendapatan rendah dan setinggan pada kadar RM94 sehingga RM124 sebulan. Rumah PPR ditawarkan untuk golongan yang mempunyai pendapatan isi rumah kasar di bawah RM3,000.

PPR juga terdiri daripada dua kategori iaitu PPR Disewa dan PPR Dimiliki. PPR Dimiliki adalah bertujuan untuk membolehkan golongan B40 memiliki rumah sendiri yang dijual pada harga RM35,000 seunit di Semenanjung Malaysia dan RM42,000 seunit di Sabah dan Sarawak.

Namun, akibat daripada sikap tamak segelintir penghuni untuk mencari keuntungan dengan mudah, mereka menjalankan perniagaan sewa atas sewa rumah PPR. Rumah murah yang ditawarkan untuk membantu golongan yang memerlukan dijadikan peluang pelaburan bagi golongan yang tidak bertanggungjawab.

PPR dijadikan sebagai pelaburan oleh golongan yang tamak

Terdapat golongan yang menyewakan unit pada kadar RM500 sehingga RM1,200 sebulan jika dilengkapi dengan perabot sedangkan pemilik asal hanya menyewa pada kadar RM94 sehingga RM124 sebulan sahaja. Bayangkan keuntungan yang berlipat ganda dikaut oleh golongan yang menyewakan rumah PPR tersebut.

Selain itu, terdapat juga pemilik rumah yang menyewakan rumah PPR kepada warga asing sekali gus menimbulkan ketidakselesaan kepada penghuni yang lain malah mencetuskan masalah sosial.

Bukan itu sahaja, sesetengah penghuni bersikap mementingkan diri sendiri dengan meletakkan pelbagai halangan di petak meletakkan kenderaan seperti memarkir motosikal, meletakkan kerusi, tong sampah dan sebagainya sedangkan ruang tersebut bukan hak milik persendirian. Walaupun menghuni di PPR, kebanyakkan penghuni mampu menggunakan kenderaan mewah serta mempunyai lebih dari sebuah kenderaan.

Oleh itu, sikap tamak dan mementingkan diri oleh golongan ini perlu dibanteras agar tidak menindas golongan yang amat memerlukan rumah kos rendah.  Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlulah sentiasa melakukan audit berkala dan memperbanyakkan operasi secara berterusan bagi memastikan unit PPR yang disewakan atau dibeli tidak disalahgunakan.

Rumah PPR yang disewakan kepada warga asing seharusnya dirampas dari pemilik

Jika penghuni didapati sudah mempunyai rumah selain dari PPR, pihak PBT perlu berbincang dengan pemilik agar menjual semula rumah tersebut agar dapat diberikan kepada individu yang memerlukan.

Justeru itu, kerajaan perlu memandang serius perkara ini dan tidak berkompromi dengan penyalahgunaan rumah PPR ini. Kerjasama daripada penghuni PPR untuk menyalurkan maklumat juga diperlukan oleh pihak berkuasa agar penyalahgunaan kemudahan PPR ini dapat dibanteras. Pemilik rumah PPR perlulah mempunyai kesedaran sivik kerana rumah PPR tersebut dibina untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan bukannya dijadikan untuk pelaburan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here