Demi kecintaan kepada dunia, ramai para pemimpin Islam hari ini sanggup membiarkan diri mereka hanyut dengan dosa dan maksiat. Ini termasuklah saling memfitnah antara satu sama lain, apa lagi dengan kecanggihan teknologi yang semakin berkembang maka mudahlah bagi mereka mengupah ‘askar-askar siber’ untuk menyebarkan cerita fitnah tentang musuh politik mereka.

Sesungguhnya mereka semakin hanyut. Sepatutnya dengan gelaran yang mereka ada mereka mampu untuk menarik lebih ramai umat Islam untuk saling bersatu-padu dan mempertahankan hak agama Islam. Tetapi sebaliknya mereka pula yang bersikap barbarian dengan menyebarkan fitnah secara berleluasa demi ketamakan diri sendiri. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat.” (QS An-Nur: 19)

Wahai para pemimpin Islam, baca dan hayati amaran daripada Allah SWT ini. Apakah anda semua tidak takut akan keperitan azab Allah SWT pada hari kiamat? Ya, sekarang mungkin anda ketawa dan gembira dengan perbuatan anda yang menyebarkan fitnah secara merata-rata kerana azab yang bakal anda terima tidak terpampang di hadapan mata kasar. Anda telah mengaibkan seorang hamba Allah dengan cerita rekaan anda hanya kerana perebutan kuasa yang kelak akan dipersoal di akhirat. Ia ibarat memakan daging saudara sendiri.

Ingat, penabur fitnah adalah orang yang paling keji. Abdul Rahman Bin Ghanmin R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah” (HR Ahmad)

Awas para pemimpin Islam, menjadi orang yang terkeji pada pandangan Allah SWT dan Rasulullah SAW dengan menyebarkan fitnah adalah satu bentuk penghinaan buat anda. Hal ini kerana adanya seseorang yang mengaku Islam akan tetapi bersifat seperti orang yang tidak mempunyai agama. Seharusnya dengan gelaran yang ada, anda wajib menjauhkan diri daripada perkara sedemikian rupa. Fitnah ini adalah mainan syaitan yang inginn melihat perpecahan dalam umat Islam. Adakah anda sebahagian daripada pengikut syaitan laknatullah? Jauhi fitnah demi kegilaan kepada kuasa, sebaliknya bersainglah secara adil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here