Sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 lalu, pelbagai program dan inisiatif yang dilakukan kerajaan terdahulu telah dijenamakan semula oleh kerajaan baharu hingga menimbulkan kekeliruan rakyat. Perkara ini boleh dilihat di kebanyakan kementerian sebagai langkah untuk melakukan pembaharuan terhadap program dan inisiatif kerajaan terdahulu.

Sebelum ini, kerajaan telah menukar program kerajaan seperti Program Permata Negara (PERMATA) kepada GENIUS, 1Malaysia 4 Youth (iM4U) kepada Impact Malaysia, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) kepada Pusat Komuniti Desa (PKD) dan baru-baru ini Menteri Pendidikan, YB Maszlee Malik juga bercadang untuk menjenamakan semula program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Selain itu idea kerajaan terdahulu juga telah dijenamakan semula seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ditukarkan kepada Bantuan Sara Hidup (BSH), Klinik 1Malaysia kepada Klinik Komuniti, Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) kepada Residensi Wilayah, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) menjadi AWAS (Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik) dan banyak lagi.

Kerajaan perlu pastikan penjenamaan semula program kerajaan ditambahbaik untuk rakyat

Langkah penjenamaan semula ini adalah perkara baik kepada rakyat kerana ada program dan inisiatif kerajaan terdahulu membawa kebaikan untuk rakyat serta perlu diteruskan oleh kerajaan baharu. Program dan bantuan seperti Rumawip, Klinik 1Malaysia serta BR1M telah banyak memberi manfaat kepada rakyat kerana rumah mampu milik, kos kesihatan murah dan bantuan kewangan kini menjadi keutamaan kepada rakyat.

Di samping itu, penjenamaan semula ini menunjukkan kerajaan PH akan melaksanakan dasar baharu untuk program-program kerajaan bagi membezakan dari dasar kerajaan lama. Dasar baharu ini mungkin boleh merealisasikan objektif utama bantuan kerajaan untuk memberi kebajikan kepada setiap golongan rakyat di negara ini.

Situasi begini menunjukkan kerajaan berhasrat untuk mentransformasikan semula program dan inisiatif kerajaan terdahulu untuk memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat. Perkara tersebut merupakan langkah baik daripada kerajaan tetapi perlu melaksanakan penambahbaikan dari segi sistem, perancangan dan juga pelaksanaan program serta bantuan yang telah dijenamakan semula ini.

Penjenamaan semula juga memakan kos tinggi untuk dilaksanakan oleh pihak kerajaan

Penambahbaikan terhadap program dan bantuan kerajaan ini penting kerana kerajaan dapat memastikan bantuan dapat disampaikan kepada rakyat dengan cara yang betul serta lebih baik. Pembayaran BSH kepada golongan B40 menunjukkan kerajaan mahu bantuan disalurkan kepada golongan yang lebih memerlukan. Jadi, cara kerajaan untuk melaksanakan program yang dijenamakan semula ini perlu lebih baik dari dahulu.

Jika tidak, proses penjenamaan semula ini diibaratkan seperti menukar warna rumah sedangkan isi dalaman rumah masih sama. Ini yang perlu diutamakan oleh kerajaan kerana proses untuk penjenamaan semula ini memakan kos yang tinggi dan bukan sekadar menukar nama di dalam kertas. Objektif penjenamaan semula ini juga haruslah memberi kebaikan kepada rakyat dalam jangka masa panjang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here