Jangan sesekali mengharapkan habuan dan pelepasan apabila kita ditakdirkan untuk memegang sesebuah jawatan! Ini amaran keras buat para pemimpin dan bakal pemimpin khususnya para pemimpin Islam yang sedari mula telah memasang impian untuk mendapatkan habuan sejurus mendapat jawatan dalam kepimpinan negara. Ini kerana mengharapkan habuan adalah satu dosa yang besar dan boleh dikira sebagai punca permulaan kepada rasuah.

Sesiapa yang berkecimpung dalam profession Wilayah Ammah, dia harus ingat bahawa dia tidak boleh menjadikan jawatan dan kedudukan itu sebagai habuan dan wasilah untuk mendapatkan habuan dunia. Daripada sekecil-kecil Wilayah Ammah, seperti ketua kampung dan ketua taman, sampai ke ketua pengarah jabatan kerajaan, hinggalah ke profession ahli politik dan jawatan menteri, mengharapkan habuan seperti hadiah, kontrak dan tender dari kerajaan tanpa melalui saluran yang betul adalah salah di sisi undang2 dan juga perintah agama.

Daripada Abi Humayd al-Sa’idi RA, sesungguhnya Rasulullah SAW telah melantik Ibn al-Utbiyyah (sebahagian lafaz menyebut Ibn al-Lutbiyyah) untuk menguruskan zakat Bani Sulaym. Ketika mana dia datang berjumpa dengan Rasulullah, dia mengira (kutipan zakat tersebut lalu mengasingkan sebahagiannya dan berkata):

“Ini adalah bahagian kamu dan ini adalah hadiah untukku, aku telah diberikan hadiah (kerana menguruskan zakat ini). Lalu Rasulullah (menegurnya dengan) bersabda: Apakah sekiranya engkau duduk di rumah ibu dan ayahmu, apakah mereka akan datang memberikan kamu hadiah juga seperti ini, jika kamu seorang yang benar?” (Sahih al-Bukhari, no: 7197)

Bayangkan jika kita menerimanya, lalu kita belanjakan ia kepada keluarga. Bukankah itu sudah menjadi darah daging? Sanggupkah kita memberi makan dan minum hasil daripada sumber haram sedangkan mereka bersusah payah mentaati suruhan agama? Mungkin kita merasa kita layak mendapatkannya kerana kita menganggap ianya “usaha”. Akan tetapi, matlamat tidak menghalalkan cara pelaksanaannya.

Ingatlah, jawatan yang dipegang bukan tiket untuk kita mendapatkan habuan dan pelepasan. Allah telah memilih kita untuk melaksanakan tanggungjawab, maka laksanakanlah ia dengan penuh amanah dan jujur. Ini ujian dari Allah untuk melihat sejauh mana kita mampu melaksanakan tanggungjawab dengan cubaan duniawi yang tak henti-henti datang menggoda. Sesiapa yang lepas, maka ganjaran Allah di akhirat sedang menanti. Sesiapa yang gagal, maka azab menimpa mereka tidak hanya di akhirat, malah di dunia Allah akan tunjuk dengan izinNya.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (QS An-Nisaa’: 58)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here